Tahanan dalam rumah: Najib fail permohonan ke Mahkamah Rayuan

Tahanan dalam rumah: Najib fail permohonan ke Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfailkan permohonan ke Mahkamah Rayuan berhubung ‘titah adendum’ untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan dalam rumah.

Peguam mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan permohonan itu telah difailkan awal bulan ini.

“Mahkamah Rayuan sudah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 7 Oktober depan,” katanya hari ini.

Najib mahu perintah mahkamah untuk memastikan pihak berwajib menurut perintah telah diberikan kepada dalam titah adendum yang membenarkan beliau menjalani hukumannya sebagai tahanan rumah.

Pada 3 Julai lepas, Najib telah gagal mendapat kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Mahkamah Tinggi melalui hakim bicara, Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan Najib hanya sekadar ‘dengar cakap’.

Itu termasuklah afidavit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Najib memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024. -MalaysiaGazette