PETALING JAYA: Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan melalui proses naik taraf secara menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemudahan dan pembukaan lebih banyak kelas akan turut dilaksanakan, sekaligus memberi kemudahan kepada anak-anak KEMAS.
“Saya berpuas hati dengan perancangan yang dikemukakan KEMAS baru-baru ini dan arahkan Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Hanafiah Man supaya melihat secara menyeluruh agar naik taraf kelas Tabika dapat dilakukan.
“Selain itu, tidak dilupakan skim gaji baharu guru-guru KEMAS yang berstatus kontrak akan diberikan jawatan tetap,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Sentuhan Kasih Desa @Tawau 2025, anjuran KEMAS di Kompleks Sukan Tawau hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan WIlayah berkata, penambahbaikan skim perjawatan kakitangan KEMAS turut mendapat reaksi positif Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, dengan penambahbaikan itu, nasib pegawai dan kakitangan KEMAS di bawah kementerian berkenaan akan lebih terbela.
“Apabila skim gaji baharu dan jawatan tetap diluluskan Kerajaan Madani akan menjadi pemangkin kepada semua pegawai serta kakitangan KEMAS untuk lebih bersemangat serta meningkatkan produktiviti kerja masing-masing,” katanya. – UTUSAN