am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Meskipun dikurniakan anak tidak seperti remaja normal seusia dengannya, namun ibu ini tetap tabah memegang amanah untuk menjaga anak istimewanya, Putri Airin Amani Azwadi, 17, yang menghidap penyakit saraf bagai menatang minyak yang penuh.
Bagi Siti Fatihah Ab Ghani, 35, dan suaminya, Azwadi Mamat, 37, ia adalah ketentuan dan anugerah terindah daripada Allah SWT yang mengurniakan seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) kepada mereka.
Siti Fatihah berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu dilahirkan normal, namun ketika berusia tujuh bulan, Putri Airin Amani mengalami demam panas dan diserang sawan sehingga tidak sedarkan diri sebelum disahkan menghidap penyakit saraf.
“Putri Airin Amani ketika ini juga tidak boleh bercakap dan hanya menggunakan bahasa badan atau merengek seperti kanak-kanak jika mahukan sesuatu.
“Putri Airin Amani adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Apa pun yang terjadi, saya dan suami akan menjaganya dengan sebaiknya dan berharap dia dapat membawa kami ke syurga satu hari nanti,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ulu Geh, Telekong.
Menurut Siti Fatihah, bagi menampung perbelanjaan anak sulungnya itu, setiap bulan dia perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM700 untuk membeli lampin pakai buang dan juga keperluan lain.
“Saya menggunakan wang yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung.
“Suami saya hanya bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu dan pada masa sama saya juga tidak boleh keluar bekerja kerana perlu memberi sepenuh perhatian kepada Putri Airin Amani,” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga menumpang di rumah ibu mentua, Noriah Setapa, 74, yang juga pada masa sama rumah yang dihuni itu terlalu daif selain dimakan anai-anai.
“Setiap kali hujan, kami sekeluarga terpaksa duduk berhimpit kerana rumah memang banyak bocor dan anak-anak kesejukan.
“Saya mempunyai tanah, namun tidak mampu membina kediaman yang lebih selesa memandangkan hidup kami sekeluarga hanya cukup makan sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Agro Bank bernombor 2-00-6701-00020832-0 atas nama Siti Fatihah Ab Ghani atau boleh menghubunginya di talian 019-9434294.
© New Straits Times Press (M) Bhd