PETALING JAYA: Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menceriakan peminat badminton di tanah air selepas beregu lelaki No. 1 negara itu mara ke pusingan kedua pada Kejohanan All England 2025 di Utilita Arena Birmingham, England, hari ini.
Gandingan No. 3 dunia itu menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang 21-17, 21-14 dalam masa 37 minit.
Pada pusingan kedua, esok, Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan kedua dijangka berdepan sama ada pasangan Thailand, Kittinupong Kedren- Dechapol Puavaranukroh atau Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
Turut mengikut jejak langkah Sze Fei-Izzuddin ialah beregu wanita No. 1 Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah yang menyingkirkan Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun dari Taiwan 19-21, 21-15, 21-13 dalam masa 51 minit.
Untuk mencari laluan ke suku akhir, beregu No. 5 dunia itu terlebih dahulu perlu melepasi halangan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadanti dari Indonesia.
Kemaraan dua beregu tersebut sekurang-kurangnya mengubat duka peminat yang kecewa menyaksikan 10 wakil Malaysia terkandas seawal pusingan pertama.
Jika, semalam tujuh wakil tersingkir, hari ini, tiga lagi beregu lelaki dan campuran ditunjukkan jalan keluar oleh lawan masing-masing.
Paling mengecewakan ialah beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan.
Mereka tumpas ditangan gandingan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja 21-18, 20-22, 11-21 dalam masa 1 jam 5 minit.
Turut tersingkir dua beregu profesional Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.
Azriyn-Wee Kiong kalah kepada beregu pecah ganding Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju 14-21, 12-21 dalam masa 32 minit, manakala, Tien Ci-Chiew Sien tewas ditangan beregu No. 10 dunia dari Denmark, Jasper Toft-Amalie Magelund 16-21, 19-21 dalam masa 36 minit. – UTUSAN