Kuala Lumpur: Biarpun hampir seluruh anggota badannya dibalut akibat melecur teruk, suami kepada penyanyi Syura Badron iaitu Muhammad Farizat masih memikirkan soal mencari rezeki buat keluarganya.
Syura tidak sanggup melihat penderitaan terpaksa ditanggung suaminya itu meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan insan yang cukup bertanggungjawab.
“Beruntungnya saya sebagai isteri. Walaupun suami sedang dalam kesakitan, dia tak pernah berhenti fikir untuk cari rezeki buat keluarga kami.
“Tak pernah lupa untuk bertanya mengenai kakitangannya yang sedang bekerja di Perak untuk sebuah acara festival makanan.
“Setiap hari dia tanya jualan perniagaan, kakitangan dan stok,” katanya.
Farizat yang kini menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Sunway, Selangor sudah memasuki hari kelima berada di hospital berkenaan.
Biarpun Farizat kelihatan kuat menerusi beberapa hantaran video yang dikongsikan Syura di media sosial, namun melihat penderitaan Farizat berada dalam keadaan berbalut di bahagian muka, tangan dan kaki membuatkan penyanyi itu begitu hiba.
Sentiasa berada di sisi suaminya, Syura sentiasa mendoakan agar Farizat diberikan kesembuhan dengan segera.
“Apa yang penting awak sihat sepenuhnya dan kita boleh sama-sama berniaga macam dulu,” katanya.
Terdahulu Syura dalam temu bual bersama Harian Metro memberitahu suaminya melecur teruk akibat letupan tong gas di tempat penginapan mereka di Perlis, baru-baru ini dan menerima rawatan di sebuah pusat perubatan sejak Ahad lalu.
Syura berkata kejadian itu menyebabkan anggota tubuh badan suaminya itu terbakar tahap kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd