Syukur kematian bekas suami terbela

Syukur kematian bekas suami terbela

MELAKA: “Alhamdulillah kematian bekas suami terbela dan tertuduh mendapat balasan atas kesalahan yang dilakukannya.”

Demikian luahan bekas isteri Allahyarham Abdul Rahim Mohamad, Norizan Mat Isa, 43, selepas Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan didenda RM70,000 atau 12 penjara jika gagal bayar terhadap seorang penyelia syarikat hiasan dalaman, Lee Han Wee, 45, selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut, tiga tahun lalu.

Lesen memandu tertuduh turut digantung selama 10 tahun bermula selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Kata Norizan, kejadian yang menimpa bekas suaminya itu sangat memberi kesan kepada tiga anaknya iaitu Wardah Abdul Rahim, 23;  Nurul A’liyah Abdul Rahim, 16, dan Sofia U’mairah Abdul Rahim, 14.

“Ketiga-tiga anak perempuan saya turut terlibat dalam kemalangan. Mujur mereka selamat tetapi terpaksa menanggung kesannya seumur hidup.

“Pada lengan Wardah masih terdapat besi manakala Nurul A’liyah mengalami kecederaan pada bahagian otak yang menyebabkan dia lambat untuk memproses maklumat. Sofia U’mairah pula mengalami patah tangan dan menjejaskan pergerakannya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Abdul Rahim, 52, yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya dirempuh kereta Nissan Teana dari arah bertentangan dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 pagi pada 29 November 2021.

Terdahulu, Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi membuat keputusan itu selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap tertuduh.

Peguam Alhirzan Mohd. Akhir yang mewakili tertuduh merayu penangguhan hukuman penjara dengan alasan anak guamnya mengalami kecederaan tulang pinggul akibat kemalangan tersebut dan memerlukan rawatan lanjut di hospital pakar.

Timbalan Pendakwa Raya Sherina Farhana Nor Sa’ari membantah dengan alasan tertuduh memandu dalam keadaan sedar sebelum mengambil minuman keras sehingga menyebabkan kemalangan berlaku selain tertuduh masih boleh menerima rawatan di penjara.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat iaitu notis rayuan perlu dikemukakan secepat mungkin, jumlah jaminan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM20,000 dengan seorang penjamin manakala denda RM70,000 perlu dibayar terlebih dahulu. – UTUSAN