DAMSYIK: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) mengakui bahawa negara itu melakukan serangan terhadap aset tentera di Timur Syria dalam satu serangan roket berhampiran salah satu pangkalannya.
Jurucakap Pentagon, Pat Ryder memaklumkan bahawa tenteranya telah menyerang sistem senjata, termasuk pelancar roket dan kereta kebal yang didakwa memberi ancaman yang jelas dan pasti kepada pasukannya di kawasan itu.
“Tindakan pertahanan diri ini berjaya menghapuskan ancaman yang akan berlaku kepada kakitangan Amerika Syarikat (AS) dan tidak dikaitkan dengan sebarang aktiviti yang lebih luas di Barat Laut Syria oleh kumpulan lain,” katanya.
Tiga pelancar roket, kereta kebal T-64 dan mortar merupakan antara aset tentera yang disasarkan oleh AS selepas dianggap sebagai ancaman jelas dan pasti kepada tentera AS dan sekutunya.
Serangan AS itu berlaku ketika keganasan meningkat di seluruh negara yang sedang dilanda perang.
Sepanjang minggu lalu, kumpulan bersenjata antikerajaan melakukan serangan yang hebat di Barat Laut Syria terhadap tentera kerajaan yang diketuai oleh Presiden, Bashar al-Assad, sekali gus membawa kepada peringkat baharu perang saudara berpanjangan negara itu.
Serangan itu turut menimbulkan persoalan kemungkinan AS bertindak balas dan sama ada ia boleh terjerat dalam konflik, memandangkan kehadiran tenteranya yang ketara di Syria. – Al Jazeera / HARAKAHDAILY 4/12/2024