Syed Yazid cadang Piala Presiden untuk pemain B-23

Syed Yazid cadang Piala Presiden untuk pemain B-23

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar mencadangkan agar kempen Piala Presiden diubah kembali kepada saingan bawah 23 (B-23) selepas Piala MFL dibubarkan.

Jelas Syed Yazid, cadangan itu bagi membolehkan nasib pemain B-23 yang sebelum ini beraksi di Piala MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dibela sekali gus menyediakan platform yang kompetitif buat kelompok pemain diusia itu.

“Saya berpandangan, mungkin saingan Piala Presiden itu diubah kepada umur B-23 supaya pemain yang sebelum ini di Piala MFL ada tempat untuk bermain secara kompetitif.

“Kita kena faham juga, ada setengah pemain yang masih ada kontrak dengan kelab yang sepatutnya main di Piala MFL.

“Jadi bila Piala Presiden dibuka kepada B-23, pemain yang ada kontrak itu masih boleh main untuk kelab dan pasukan masing-masing dalam Piala Presiden.

“Ini mungkin boleh menyelamatkan masa depan pemain ini, malah ia juga tidak akan menganggu pembangunan pemain-pemain muda,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, MFL mengumumkan kejohanan Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025-2026 apabila rakan kongsi liga itu sebulat suara bersetuju memansuhkan saingan B-23 tahun itu.

MFL dalam kenyataan menjelaskan keputusan memansuhkan Piala MFL dibuat menerusi perbincangan bersama rakan kongsi liga yang terdiri daripada 13 kelab Liga Super dalam pertemuan pada 19 Februari lalu.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu berkata, kejohanan untuk pembangunan pemain muda itu mula dipertandingkan pada 2023 dengan mendapat sokongan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mana setiap kelab diwajibkan memiliki skuad Piala MFL bagi memenuhi salah satu kriteria dalam pelesenan kelab.

Untuk rekod, saingan Piala Presiden ketika ini dihadkan pemain diusia B-21 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top