Syed Saddiq Dan Bella Astillah Agih Bantuan RM1.36 Juta

Syed Saddiq Dan Bella Astillah Agih Bantuan RM1.36 Juta

Siapa sangka, seorang ahli politik dan seorang selebriti boleh bergabung tenaga untuk membantu masyarakat? Itulah yang dilakukan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah apabila mereka turun padang menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada lebih 1,000 penduduk di Muar.

Lebih menarik, jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM1.36 juta itu bukan datang daripada dana kerajaan, tetapi hasil titik peluh Syed Saddiq sendiri yang menjadi model untuk sebuah jenama fesyen terkenal bersama Bella.

Tindakan ini nyata mencuri perhatian ramai, memperlihatkan bagaimana seorang pemimpin sanggup mencari alternatif demi kebajikan rakyatnya.

“Saya harap peruntukan kerajaan juga cepat disalurkan”- Syed Saddiq.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut berharap agar peruntukan kawasan Parlimennya dapat disalurkan segera selepas beliau bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, jika dana itu benar-benar diberikan, ia menandakan berakhirnya penantian selama 400 hari sejak PRU15.

Saya doakan yang terbaik untuk orang Muar, kalau dapat Alhamdulillah. Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) kerana sesi rundingan lebih lima kali, akan berakhir.

Beliau turut menegaskan bahawa dana tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat, termasuk bantuan makanan, keperluan perubatan dan baik pulih rumah mereka yang memerlukan.

Sebelum ini, Syed Saddiq mendakwa bahawa peruntukan untuk Parlimen Muar telah disekat, menyebabkan beliau terpaksa mencari alternatif untuk membantu penduduk.

Namun, berita baik akhirnya tiba apabila Fadillah Yusof mengesahkan bahawa beliau bakal menerima peruntukan tidak lama lagi selepas bersetuju dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan kerajaan.

#ApaKataOhmedia

Usaha Syed Saddiq dalam mencari sumber bantuan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya pada kerajaan adalah sesuatu yang patut dicontohi.

Ini menunjukkan bahawa pemimpin yang benar-benar komited terhadap rakyat akan sentiasa mencari jalan untuk membantu, bukan sekadar menunggu dana kerajaan.


Scroll to Top