am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Syazwan Zulkifly, 37, tidak menyangka watak Jaki lakonannya dalam filem Blood Brothers : Bara Naga arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra menjadi tular dan mencuri perhatian netizen di media sosial.
Syazwan yang melakonkan watak abang kandung Ariff (lakonan Syafiq Kyle) yang sudah lama terpisah berkata, dia juga menerima banyak maklum balas dan komen dari netizen yang menganggap watak Jaki mewarnai filem berkenaan.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada netizen yang memuji lakonan dan beri komen positif pada watak Jaki.
“Mereka juga mengulas balik karakter Jaki yang saya lakonkan dan anggap ia mewarnai jalan cerita filem ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media filem Blood Brothers di Balai Berita Bangsar, di sini, kelmarin.
Ditanya watak Jaki, kata Syazwan, dia mahu memberi ‘kredit’ pada filem Malbatt : Misi Bakara lakonannya sebelum ini.
“Masa saya ditawarkan watak Jaki, pengarah filem ini, Abhilash beritahu dia ada tonton filem Malbatt dan menyukai lakonan saya dalam filem itu.
“Watak saya dalam filem Malbatt pun tak banyak tapi saya ada buat lawak sama seperti dalam filem Blood Brothers.
“Macam-macam nak buat dialog yang tidak lawak kerana saya pelakon dan bukannya pelawak. Tapi bila sudah melalui proses latihan di set bersama pengarah ia berjaya dilakukan,” katanya.
Mengulas watak Jaki yang tular walaupun tiada dalam poster filem Blood Brothers pula, Syazwan tidak mahu mengulasnya.
“Saya tak nak komen pasal gambar tiada dalam poster sebab itu adalah strategi pemasaran.
“Apa yang penting, bila filem itu ditayangkan di pawagam, orang ingat watak Jaki.
“Pada masa sama, memang impian saya mahu kerjasama dengan Syafiq dalam filem ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd