Siapa kata hijrah itu mudah? Itulah apa yang dilalui oleh penyanyi Syasya Rizal, 24, yang mengakui bahawa hampir setahun menutup aurat bukanlah sesuatu yang mudah.
Dalam satu perkongsian di TikTok, bekas penyanyi kumpula Dolla, Syasya mendedahkan bahawa dia berdepan ujian mental untuk kekal istiqamah dan pernah terdetik rasa untuk kembali ke imej lamanya.

Sejak saya pakai tudung, perjalanan itu sangat mencabar dan menguji mental. Ianya tidak semudah yang orang nampak.
Kadang-kadang akan terfikir, patah balik itu mungkin cara yang paling mudah.
Bukan mudah untuk kekal dengan perubahan, lebih-lebih lagi apabila ada yang menganggap dirinya sudah ‘sempurna’ hanya kerana bertudung.
Orang ingat kita dah alim. Nak jadi ustazah, tapi tidak pun. Saya sama saja macam yang lain, masih mencuba untuk jadi seseorang yang lebih baik.

Syasya juga menegaskan bahawa perubahan ini bukan bermaksud dia lebih baik daripada orang lain. Baginya, setiap individu ada perjalanan masing-masing dalam mencari kebaikan.
Bila sudah bertudung, ini bukan bermaksud kita terpaling bagus berbanding orang lain. Saya selalu ingatkan diri saya untuk tidak riyak. Sebab diri saya ada banyak lagi yang perlu baiki.
Pesanan Syasya buat wanita yang berusaha untuk istiqamah…

Buat mereka yang masih berjuang untuk kekal istiqamah, Syasya berpesan agar tidak terlalu memaksa diri.
Untuk semua wanita di luar sana yang tengah berjuang untuk istiqamah, tidak mengapa jika perjalanan itu agak lambat dan jangan terlalu memaksa.
Perjalanan kita semua tak sama, jadi tak perlu bandingkan dengan orang lain. Slowly but surely.
Syasya mula berhijab sekitar April 2024 selepas meninggalkan kumpulan Dolla. Perubahan imejnya ketika itu menarik perhatian ramai peminat.
#ApaKataOhmedia
Perubahan ke arah kebaikan memang tak mudah, tapi yang penting niat dan usaha. Macam kata Syasya, tak perlu bandingkan diri dengan orang lain, yang penting teruskan perjalanan dengan yakin. Semoga Syasya dan semua yang sedang berusaha untuk istiqamah diberikan kekuatan!
