Syarikat Qatar sah tawar RM26.59 bilion beli United

Syarikat Qatar sah tawar RM26.59 bilion beli United

London: Persaingan untuk membeli Manchester United menjadi semakin jelas hari ini apabila konsortium yang diketuai Pengerusi Qatar Islamic Bank (QIB), Sheikh Jassim Hamad Al Thani mengumumkan sudah mengemukakan tawaran untuk menguasai sepenuhnya kelab Liga Perdana itu.

“Syeikh Jassim Hamad Al Thani hari ini (semalam) mengesahkan tawaran untuk pemilikan 100 peratus Manchester United,” kata kenyataan akhbarnya menjelang tarikh akhir pembidaan.

Kenyataan itu tidak memberikan sebarang butiran mengenai jumlah bidaan untuk kelab itu tetapi menurut laporan ia boleh mencecah rekod $6 bilion (RM26.59 bilion).

Ia berbeza ketika pengambilalihan pada 2005 yang penuh kontroversi oleh keluarga Glazer yang berpangkalan di AS, pemilik kelab ketika ini.

United kini mengumpul hutang lebih daripada $620 juta (RM2.74 bilion).

Bagaimanapun bidaan yang diumumkan itu akan “bebas hutang sepenuhnya” melalui Yayasan Sembilan Dua Sheikh Jassim yang “melihat untuk melabur dalam pasukan bola sepak, pusat latihan, stadium dan infrastruktur yang lebih luas, pengalaman peminat dan komuniti yang disokong oleh kelab itu.”

Glazers pada November lalu mengumumkan bahawa mereka terbuka kepada penjualan atau pelaburan buat juara Inggeris 20 kali England itu, mencetuskan perbincangan mengenai pertarungan bidaan antara pihak Qatar dan Arab Saudi.

Jutawan British, Jim Ratcliffe yang memiliki Ineos menjadi satu lagi pihak yang menyatakan minat secara rasmi ketika Daily Telegraph melaporkan hari ini bahawa mereka memberitahu bank perdagangan AS, Kumpulan Raine yang menguruskan penjualan itu bahawa mereka boleh menjadi “penjaga kelab untuk tempoh yang sama.”

Namun ketika saham United masih didagangkan di Pasaran Saham New York (NYSE), broker yang bertindak bagi pihak kelab masih boleh memikirkan mengenai penjualan itu selepas Jumaat.

Jika tawaran Qatar itu berjaya, ia pasti akan menimbulkan persoalan memandangkan pihak yang berkepentingan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu juga mengawal kelab Perancis, Paris Saint-Germain.

Bagaimanapun kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi bagi pihak Sheikh Jassim menyatakan dia adalah individu bebas yang tiada kaitan dengan Kumpulan Qatar Sports Investment yang memiliki PSG.

© New Straits Times Press (M) Bhd