Syamer teruja raih trofi bersama Harimau Malaya

Syamer teruja raih trofi bersama Harimau Malaya
Syamer teruja raih trofi bersama Harimau Malaya

Aksi Syamer (kiri) cuba mengawal pergerakan pemain Lubnan Karim Darwich (kanan) pada perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto Bernama

PEMAIN tengah Harimau Malaya, Mohammad Syamer Kutty Abba mengakui gembira di atas kejayaan memenangi trofi bersama skuad kebangsaan, pada final Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Mohammad Syamer berkata, beliau berharap kejayaan pada edisi ke-43 kejohanan bola sepak tertua di Asia itu, akan menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus cemerlang dalam karier.

“Piala ini sangat bermakna selepas dua kali kalah pada aksi final bersama pasukan kebangsaan di Sukan SEA (Sukan SEA Kuala Lumpur 2017) dan Piala AFF (Piala AFF 2018).

“Piala ini menjadi tonik terbaik untuk diri dan karier saya, perlu berusaha menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang,” kata pemain berusia 26 tahun itu ketika ditemui selepas final Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.

Pasukan Malaysia meraikan kejuaraan pada perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2024, Malaysia menentang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Foto Bernama

Pasukan Malaysia meraikan kejuaraan pada perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2024, Malaysia menentang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Foto Bernama

Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian selama 11 tahun untuk menjuarai semula Pestabola Merdeka selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Lubnan, hasil jaringan tunggal pemain naturalisasi Romel Morales.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pendekatan yang digunakan Pau Marti Vicente, Mohammad Syamer mengakui ia sedikit berbeza berbanding pengendali terdahulu Kim Pan Gon.

Pemain Penang FC itu berkata, beliau gembira, kerana rakan-rakan sepasukan tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan Vicente.

Kita tengok banyak perkara positif yang boleh ambil daripada perlawanan ini dan pasti ada perkara negatif yang kita perlu baiki. Jadi ini merupakan langkah yang terbaik untuk kita perbaiki selepas ini,” katanya. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!