Syaiful Rizal dilantik CEO Yayasan Bank Rakyat

Syaiful Rizal dilantik CEO Yayasan Bank Rakyat

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) melantik Syaiful Rizal Abdul Ghani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu, berkuat kuasa 22 Jan lepas.

Jabatan Komunikasi Korporat YBR dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Syaiful Rizal yang sebelum ini menjawat jawatan Pengurus Besar YBR dicadangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedict serta dipersetujui Lembaga Pemegang Amanah YBR.

“Lembaga Pemegang Amanah YBR meletakkan kepercayaan kepada Syaiful Rizal dalam menerajui organisasi ini dengan beliau mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan aktiviti pendidikan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Perubahan pucuk pimpinan YBR adalah sebahagian daripada strategi penyusunan semula dalaman organisasi untuk mempertingkatkan lagi prestasi, kecekapan dan integriti,” menurut kenyataan itu.

YBR memaklumkan sepanjang perkhidmatan Syaiful Rizal, yayasan itu menerima pelbagai anugerah antaranya ‘Top Community Centric Companies in Asia’ pada Majlis Anugerah Asia Corporate Excellence & Sustainability (ACES) 2024 di Bangkok, Anugerah ‘Foundation Of The Year’ Bagi Kategori Perbankan (2022, 2023 dan 2024) serta Anugerah Kategori Khas Kecemerlangan CSR pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera 2023.

Selain itu, YBR turut disenaraikan sebagai antara tujuh yayasan yang memperoleh markah penuh bagi setiap penilaian ketelusan yang telah dijalankan melibatkan lebih 1,600 yayasan di seluruh negara oleh WIKI Impact pada 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top