Syahmi tak kisah tukar posisi

Syahmi tak kisah tukar posisi

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Syahmi Safari mengakui tidak kisah sekiranya diberikan tanggungjawab beraksi di posisi lain dalam skuad Harimau Malaya.

Pemain Selangor berusia 23 tahun itu mempunyai keupayaan beraksi di posisi tengah dan sayap kanan selain daripada kepakarannya berada di pertahanan kanan Harimau Malaya.

Malah, Syahmi menyifatkan perebutan tempat di pertahanan kanan dengan dua lagi pemain, Matthew Davies dan Rizal Ghazali sebagai persaingan sihat dalam memantapkan lagi skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

“Memang persaingan yang sihat (di posisi pertahanan kanan), apa yang penting setiap pemain beri yang terbaik dalam latihan untuk pastikan pasukan menjadi lebih baik.

“Saya tak kisah pun ikut mana posisi yang jurulatih letak, yang penting saya perlu bagi komitmen terbaik dalam setiap latihan,” katanya.

Syahmi memperagakan aksi terbaik sepanjang bersama Harimau Malaya terutama ketika Piala AFF 2018 dan kehadiran Davies serta Rizal yang menunjukkan persembahan cemerlang dalam liga musim ini meletakkan saingan di posisi pertahanan kiri skuad kebangsaan lebih menarik dan sengit.

Anak buah Tan Cheng Hoe akan mengharungi baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun depan, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dengan semua aksi akan berlangsung secara berpusat di UAE.

Selain itu, Syahmi turut menjelaskan kem latihan pusat yang sudah memasuki hari kelima menunjukkan situasi positif buat skuad kebangsaan dengan semua pemain memberi fokus sepenuhnya.

“Sudah hari kelima ini nampak perjalanan latihan dalam keadaan yang baik. Kita kena cepat sesuaikan diri dengan latihan dan taktikal sebab masa tak banyak, jadi dalam latihan kita kena bagi 100 peratus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top