Susulan misteri ketukan pintu, JPKK buat rondaan malam

Susulan misteri ketukan pintu, JPKK buat rondaan malam

bhnews@bh.com.my

TANJUNG KLING: Susulan misteri ketukan pintu rumah terus menghantui penduduk di beberapa kampung di sini sejak minggu lalu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kini melakukan rondaan malam.

Sidang Kampung Tanjung Kling, Aziz Japar, berkata rondaan dilakukan bertujuan menjaga keselamatan dan keharmonian penduduk.

“Kumpulan rondaan ini membabitkan 20 hingga 30 individu termasuk golongan pemuda yang segera memeriksa ke rumah penduduk sebaik menerima aduan.

“Kumpulan ini mampu sampai dalam beberapa minit saja ke rumah penduduk yang mengalami gangguan dan kami berhubung menggunakan WhatsApp,” katanya ditemui di Kampung Kelongkong, dekat sini.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, beliau berpendapat kejadian itu mempunyai kaitan dengan unsur mistik.

Setakat semalam, 20 kediaman penduduk termasuk di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, Lereh dan Simpang Tanjung diganggu ketukan misteri itu.

“Selain mengadakan rondaan saya juga ada membuat aduan di Balai Polis Tanjung Kling berhubung kejadian dan pihak polis turut menghantar unit peronda melakukan pemantauan.

“Nasihat saya kepada penduduk agar berhati-hati dan membaca al-Quran di kediaman masing-masing sebagai satu usaha memohon perlindungan Allah daripada gangguan mistik,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penduduk tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa jika dapat menangkap individu bertanggungjawab melakukan gangguan ketukan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top