am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis mengenal pasti suspek kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, malam tadi sebagai lelaki tempatan yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek juga berkulit cerah dan berusia lingkungan 30-an.
“Polis sedang giat mengesan dan menangkap suspek. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis dimaklum kejadian pada 10.50 malam dengan suspek turut mengacukan pistol ke arah saksi serta mengarahkannya membawa dia keluar dari pusat beli-belah terbabit selepas insiden berkenaan.
Hussein berkata, mangsa sebelum itu ditembak ketika sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1 dan cedera terkena empat das tembakan di kaki dan punggung.
“Dalam keadaan cedera, mangsa melarikan diri masuk ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek lari ke aras P2, sebelum melepaskan beberapa das tembakan lagi yang mengena cermin tingkap tangga dan pintu ‘sliding door’ di aras P2, lalu melarikan diri,” katanya.
Katanya, suspek kemudian menahan kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu seorang pengunjung pusat beli-belah itu sambil mengacukan pistol, memaksa pemandu membawanya keluar dari kawasan Shah Alam.
“Ketika melalui lebuh raya, suspek meminta berhenti di tepi jalan lalu menghilangkan diri. Susulan kes, polis menerima sebanyak tujuh laporan daripada saksi awam dan kesemua mereka sudah tampil memberi keterangan kepada pihak polis,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di 03-5520 2222.
Gempar kejadian tembakan di pusat beli belah di Setia Alam
Insiden tembakan Setia Alam: Lelaki cedera, suspek larikan diri
© New Straits Times Press (M) Bhd