Suspek kes bunuh ditangkap selepas keluar hutan kerana lapar

Suspek kes bunuh ditangkap selepas keluar hutan kerana lapar

am@hmetro.com.my

Keningau: Lelaki yang menetak jirannya hingga maut di Kampung Linkudau di sini, 19 September lalu ditahan selepas dipercayai keluar dari lokasi persembunyiannya kerana lapar.

Suspek warga Filipina berusia 43 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau di kawasan semak berhampiran kilang terbiar di Kampung Kauran, kira-kira 9 malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat awam dan melancarkan operasi mengesannya pada 5 petang.

“Pasukan berjaya menangkap suspek yang bersembunyi di kawasan semak di kilang itu tanpa pergelutan mahupun kecederaan terhadap suspek,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, dalam soal siasat, suspek mengaku menikam mangsa berusia 58 tahun dengan alasan marahkan mangsa yang membantu isterinya membuat laporan polis.

“Sebaik kejadian, suspek terus melarikan diri ke hutan di Jalan Tenom dan baru keluar pada 15 Oktober kerana kelaparan,” katanya yang memberitahu suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top