Suspek kes acah pukul guna kayu ditahan

Suspek kes acah pukul guna kayu ditahan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Suspek disyaki terbabit dalam insiden video tular memaparkan lelaki mengugut, dengan mengacah mahu memukul seorang individu lain menggunakan kayu di Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL), Ahad lalu, ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berumur 30 tahun itu ditahan di kawasan Skudai di sini, pada 10.30 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana berang dengan mangsa yang memotong barisan semasa kesesakan lalu lintas.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang Ahad lalu.

“Pihak polis turut merampas sebatang rotan bersaiz besar yang digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah.

Bagaimanapun saringan ujian air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, polis menjalankan siasatan selepas rakaman video berdurasi 27 saat memaparkan seorang lelaki bertengkar dengan seorang lagi individu, sebelum mengacah mahu memukulnya menggunakan sebatang kayu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top