Seorang suspek yang terlibat dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor pada 8 Februari lalu, maut ditembak oleh pihak polis di Pulau Ketam, Klang Selatan, awal pagi ini.
Memetik laporan Harian Metro, lelaki berusia 30-an itu ditembak sekitar jam 3 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa berlaku pertempuran bersenjata antara polis dan suspek di sebuah bilik hotel sebelum suspek ditembak mati.
“Pihak polis berjaya menembak mati suspek dalam kejadian itu.
“Selain itu, dua pucuk senjata api yang berisi peluru turut ditemui bersama suspek,” katanya.
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah, termasuk satu kes berkaitan dadah dan tujuh kes samun.
Suspek juga dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini.
Pada 8 Februari lalu, media melaporkan seorang pekerja pembersihan mengalami kecederaan akibat ditembak seorang lelaki.
Dalam kejadian sekitar jam 10.50 malam itu, mangsa ditembak ketika sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1 dan mengalami kecederaan akibat empat das tembakan di bahagian kaki serta punggung.
Suspek kemudian mengacukan pistol ke arah seorang saksi dan mengarahkannya membawanya keluar dari pusat beli-belah tersebut.
Selepas itu, suspek menahan sebuah Perodua Ativa yang dipandu seorang pengunjung dengan mengacukan pistol, memaksa pemandu membawanya keluar dari Shah Alam sebelum mengarahkannya berhenti di tepi lebuh raya dan melarikan diri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sebelum ini dilaporkan berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai melepaskan tembakan akibat berang selepas ditegur oleh pekerja pembersihan kerana meletakkan barang di kawasan kejadian.
Sumber: Harian Metro