
Gustavo Petro. Foto Agensi
BOGOTA – Seorang lelaki yang dituduh merancang membunuh Presiden Colombia, Gustavo Petro terbunuh dalam satu operasi keselamatan, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Menteri Pertahanan, Pedro Sanchez berkata, Santander Franco Jimenez, atau dikenali sebagai ‘Omar’, seorang anggota kumpulan Clan del Golfo-sebuah kumpulan sayap kanan yang kini bertukar menjadi sindiket penyeludupan-telah ditumpaskan dalam operasi di kawasan luar bandar El Dovio, wilayah Valle del Cauca.
Jimenez dikehendaki atas pelbagai jenayah, termasuk dakwaan merancang pembunuhan terhadap Petro.
Sanchez turut memaklumkan bahawa pasukan keselamatan merampas sejumlah besar senjata dan peluru dalam operasi itu.
“Pasukan tentera dan polis negara kita telah berjaya menumpaskan seorang daripada penjenayah yang cuba mengancam nyawa presiden kita.
“Individu yang terbunuh ini juga bertanggungjawab atas pelbagai serangan pengganas terhadap pihak polis dan orang awam,” katanya.
Beliau menambah bahawa beberapa kem Clan del Golfo telah dikenal pasti dan dimusnahkan dalam operasi yang masih dijalankan.
Pada 19 Februari lalu, Petro mendakwa bahawa kartel dadah merancang untuk membunuhnya. – Bernama-Anadolu