am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Lelaki berusia 19 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, di sini, semalam.
Lelaki warga tempatan itu ditahan reman sehingga 28 Februari ini mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu jam 10.45 pagi dengan memakai baju lokap dan diiringi polis.
Semalam, media melaporkan suspek ditahan kerana disyaki mencabul budak perempuan yang sedang solat Subuh.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang sujud di belakang barisan jemaah wanita.
Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) masjid terbabit kini tersebar di media sosial, memaparkan kejadian itu.
Berdasarkan rakaman CCTV, suspek berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah dan membawanya keluar dari ruangan berkenaan.
Ketika itu, murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri, justeru menyebabkan tindakan itu tidak disedari jemaah wanita lain yang sedang sujud.
Bagaimanapun suspek melarikan diri selepas mangsa melawan perbuatan terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd