am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Suri Rumah mengalami kerugian lebih RM176,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula pada 6 November tahun lalu apabila mangsa tertarik dengan iklan pelaburan saham di Facebook.
Katanya, mangsa berhubung dengan seorang individu yang mengaku sebagai pegawai khidmat pelanggan melalui WhatsApp.
“Mangsa diarahkan memuat turun aplikasi dan mengisi butiran peribadi dan maklumat perbankan.
“Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak 12 peratus hingga 100 peratus sehari berdasarkan jumlah pelaburan.
“Terpedaya dengan tawaran tersebut, mangsa memindahkan wang secara berperingkat ke dalam akaun tempatan yang diberikan suspek, membabitkan 11 transaksi dari 6 November hingga 17 Disember lalu yang keseluruhannya berjumlah RM176,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Raub, selepas membuat pindahan mangsa cuba mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan, namun gagal mendapatkan sebarang pulangan.
“Pemeriksaan awal melalui platform Semak Mule CCID mendapati akaun yang digunakan oleh suspek memiliki lima rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan,” katanya.
Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
© New Straits Times Press (M) Bhd