Suntik semangat belajar walau ditimpa musibah

Suntik semangat belajar walau ditimpa musibah

am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Seramai 300 murid dari lima sekolah terjejas banjir di daerah Pasir Mas menerima sumbangan wang tunai serta beg sekolah menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Kembali Ke Sekolah DRB-HICOM di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2, di sini.

Pada program sama, setiap sekolah iaitu SK Rantau Panjang, SK Rantau Panjang 1, SK Kok Pauh dan SK Kubang Kual turut menerima sumbangan peralatan multimedia seperti set komputer dan televisyen pintar (Smart TV).

Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM Berhad Cairil Irwan Mohd Amir Sharifuddin, berkata program kali ini lebih istimewa kerana bukan sahaja sumbangan wang tunai RM150 dan beg sekolah disampaikan kepada murid malah pihak sekolah turut menerima peralatan berkenaan.

Katanya, sumbangan disampaikan itu diharap dapat meringankan beban ibu bapa selain memberi semangat buat anak-anak terus menimba ilmu walaupun mereka diuji musibah banjir hampir setiap tahun.

“Selain itu, kita juga mengharapkan sumbangan peralatan multimedia kepada kesemua sekolah ini dapat memudahkan urusan barisan guru memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi sesi 2025 nanti.

“Kita difahamkan majoriti sekolah yang menerima bantuan ini dilanda banjir dengan paras air yang tinggi sekali gus berhadapan dengan kerosakan harta benda.

“DRB-HICOM sebenarnya tampil untuk membantu rakyat yang memerlukan melalui CSR selain sedia bergabung dengan pelbagai agensi lain dalam memperluaskan lagi program bantuan sebegini. Tambahan pula, Harian Metro sendiri adalah rakan kerjasama yang sudah beberapa kali bersama kami menjalankan program Kembali ke Sekolah di seluruh negara.

“Pada masa sama, usaha ini juga diharap dapat membuka mata syarikat korporat lain untuk turut sama merebut peluang menjalankan program kebajikan sekali gus membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya pada program berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2, di sini.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit, Ketua Penolong Pengarah HEM Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Mohd Zuki Abu Lipah, Pengarah Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro Noor Azam Ab Aziz merangkap Pengarah TKHM.

Sementara itu, Husain pula berkata program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu juga dapat merapatkan hubungan antara warga kerja Harian Metro dengan komuniti setempat khususnya pembaca setia Harian Metro yang kini mencecah seramai empat juta pembaca, selain 14 juta untuk berita digital termasuk di Facebook, Istagram, TikTok dan YouTube.

“InsyaAllah, program sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang selagi Harian Metro masih berdiri teguh di pasaran selain mendapat kerjasama baik daripada rakan korporat termasuk DRB-HICOM sendiri yang sebelum ini sudah bekerjasama dengan kita untuk program Kembali Ke Sekolah.

“Tambahan pula, kami berasa bertanggungjawab untuk sama-sama turun padang menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Husain turut mengucapkan terima kasih kepada pihak JPN Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas yang banyak membantu menjayakan program berkenaan.

Guna sumbangan beli baju baharu

“Terima kasih DRB-HICOM dan Harian Metro untuk sumbangan wang dan beg sekolah ini, nanti saya akan gunakan untuk beli baju sekolah baharu yang rosak akibat ditenggelami banjir tempoh hari,” kata Nur Ezara Sofeeya Muhd Faizal, 11.

Nur Ezara adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, di sini, yang juga penerima bantuan Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Kembali Ke Sekolah DRB-HICOM di SK Sri Rantau Panjang 2, di sini.

Katanya, kediamannya dinaiki air dengan paras tinggi pada hujung November lalu menyebabkan kesemua peralatan dan baju sekolah rosak akibat ditenggelami air.

“Kami sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menyelamatkan diri kerana air naik terlalu tinggi. Kami juga hanya sempat membawa beberapa helai pakaian sahaja.

“Sebaik air surut, saya sedih melihat kesemua barangan sekolah termasuk baju dan kasut basah serta rosak akibat ditenggelami air. Saya tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah, jadi kami basuh semula baju dan kasut untuk digunakan semula.

“Bila saya dimaklumkan oleh guru bahawa bakal menerima bantuan banjir, saya sangat gembira kerana dapatlah saya beli kelengkapan sekolah baharu untuk sesi pembelajaran 2025,” katanya.

Bagi Che Uwais Ziyad Che Mazlan, 10, dari SK Kubang Kuau, di sini, sumbangan wang tunai RM150 itu akan digunakan untuk membeli sepasang kasut selepas ia hanyut dibawa harus banjir.

Katanya, dia berasa lebih bersemangat ke sekolah kerana dapat merasa memakai kasut baharu yang akan dibeli dengan sumbangan diterima.

Sementara itu, wakil Guru Besar Kaliza Mohamed @ Ismail, berkata bantuan disampaikan oleh pihak Harian Metro dan DRB-HICOM bukan sahaja memberi senyuman kepada murid malah melegakan pihak sekolah yang terkesan dengan musibah banjir.

Katanya, sekolahnya di SK Kok Pauh, di sini, dinaiki air separas lebih tiga meter menyebabkan banyak kerosakan berlaku di bangunan tingkat bawah termasuk meja, kerusi serta pintu dan tingkap kelas.

“Sejujurnya kami belum bersedia memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) sesi 2025, namun perjuangan harus diteruskan. Justeru sumbangan peralatan multimedia ini membantu guru untuk mengajar.

“Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang supaya sekolah lain yang turut terjejas dapat dibantu dan bantuan ini sememangnya ‘datang’ pada waktu yang tepat,” katanya.

Bagi Guru Besar SK Sri Rantau Panjang 2, Hisham Othman, murid yang dipilih menerima bantuan adalah dalam kalangan keluarga asnaf yang teruk terjejas banjir.

“Kedatangan DRB-HICOM dan Harian Metro menyantuni murid dari sekolah terjejas banjir adalah pilihan tepat kerana kami mengalu-alukan bantuan sebegini selepas berhadapan dengan banyak kerugian akibat ditimpa musibah ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top