WASHINGTON – Kapten Sunita Williams, seorang angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berusia 59 tahun, baru-baru ini kembali ke Bumi pada Selasa, selepas terkandas selama lebih sembilan bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Beliau berlepas ke ISS pada Jun 2024 untuk misi ujian singkat kapal angkasa Boeing Starliner, tetapi masalah teknikal menyebabkan misi tersebut diperpanjang secara tidak sengaja.
Kepulangannya dengan selamat menandakan satu lagi pencapaian besar dalam karier cemerlangnya.
Namun, perjalanannya dalam dunia sains dan angkasa lepas bukan sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya dibina melalui keazaman, ketekunan, serta kepakaran dalam bidang penerbangan dan kejuruteraan.
Daripada pegawai tentera laut ke angkasawan NASA
Sunita Pandya Lyn Williams dilahirkan pada 19 September 1965 di Euclid, Ohio, Amerika Syarikat (AS).
Beliau berasal daripada keluarga berketurunan India dan Slovenia-AS, yang mengajarnya tentang nilai kerja keras dan dedikasi sejak kecil.
Mural Williams diabadikan di sebuah persimpangan lampu isyarat di Hyderabad, India.
Sebelum bergelar angkasawan, beliau berkhidmat sebagai pegawai dalam Tentera Laut AS dan menjadi juruterbang ujian yang berpengalaman.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Fizikal dari Akademi Tentera Laut AS pada tahun 1987. Kemudian menyambung latihan penerbangan, yang membawanya ke dunia penerokaan angkasa lepas.
Pada tahun 1998, beliau dipilih oleh NASA untuk menyertai program angkasawan, dan sejak itu, beliau telah mengukir pelbagai pencapaian cemerlang dalam bidang angkasa lepas.
Beliau merupakan wanita kedua yang menghabiskan masa paling lama di angkasa lepas, dengan jumlah 606 hari dalam dua misi luar biasa.
Rekod cemerlang itu menjadikannya salah seorang angkasawan wanita paling berpengalaman dalam sejarah NASA, kedua selepas Peggy Whitson dengan rekod 665 hari.
Kehidupan di angkasa lepas
Williams mengadakan sidang akhbar dari ISS pada 13 September 2024.
Keadaan tanpa graviti boleh menyebabkan kehilangan jisim otot dan tulang yang ketara, justeru angkasawan perlu bersenam sekurang-kurangnya dua jam sehari. Sepanjang tempoh sembilan bulan di angkasa, Williams berpegang teguh pada jadual ketatnya untuk kekal bertenaga.
Beliau memulakan hari seawal 5.30 pagi, menjalani tugas-tugas harian termasuk eksperimen saintifik, penyelenggaraan ISS dan latihan kecergasan yang melibatkan berlari di sawat injak, berbasikal di ergometer dan latihan kekuatan menggunakan mesin angkat beban angkasa (ARED).
Untuk rekod pada tahun 2007, beliau menjadi manusia pertama yang menyempurnakan Maraton Boston dari angkasa, berlari sejauh 42 kilometer di atas sawat injak ISS dalam masa 4 jam 24 minit 54 saat.
Williams semasa berucap secara maya dari ISS kepada para hadirin di White House, Washington.
“Saya mahu menunjukkan bahawa walaupun di angkasa, kita boleh kekal aktif dan melakukan sesuatu yang luar biasa,” katanya dalam satu temu bual.
Selain menyesuaikan diri dengan kehidupan di orbit, beliau juga terlibat dalam pelbagai eksperimen saintifik, antaranya membuat kajian biologi iaitu menyelidik perubahan sel manusia dalam persekitaran mikrograviti di samping mengkaji reaksi bahan terhadap keadaan di angkasa serta menggunakan ISS untuk memantau perubahan iklim dan bencana alam.
Beliau juga memainkan peranan penting sebagai komander ISS, memastikan operasi berjalan lancar serta bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan di stesen angkasa tersebut.
Pulang ke bumi, ujian graviti bermula
Selepas 9 bulan terapung di orbit, kepulangan ke Bumi menjadi satu cabaran besar buat Williams. Beliau dibawa keluar menggunakan pengusung khas kerana tubuh memerlukan masa untuk menyesuaikan diri semula dengan graviti.
NASA mengesahkan bahawa Williams akan menjalani tempoh pemulihan selama 45 hari, termasuk latihan khas bagi memulihkan kestabilan dan kekuatan otot selepas sekian lama di angkasa.
Williams bukan sekadar seorang angkasawan, tetapi seorang pencetus inspirasi yang membuktikan bahawa dengan keazaman, disiplin, dan semangat yang tinggi, manusia mampu mengatasi cabaran yang tidak pernah terfikirkan.
Daripada mengharungi sembilan bulan di angkasa hingga menamatkan maraton di orbit, beliau telah menetapkan penanda aras baharu dalam dunia eksplorasi angkasa lepas. -Agensi