Sungai Muda kembali digenangi air

Sungai Muda kembali digenangi air

SUNGAI PETANI: Paras air Sungai Muda yang susut mendadak Ahad lalu kembali pulih semalam selepas air dari Empangan Beris di Sik dilepaskan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sungai itu yang berhampiran Jambatan Merdeka hari ini mendapati, kesemua bahagian yang sebelum ini kering sudah dipenuhi air dan aktiviti nelayan sungai juga sudah kembali seperti biasa.

Situasi itu memberi kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini bimbang dengan kejadian itu berikutan pertama kali dalam sejarah paras air sungai surut mendadak sehingga membolehkan penduduk dua negeri itu melihat struktur Jambatan Merdeka yang dibuka pada tahun 1957.

Seorang nelayan, Ismail Abdullah, 48, berkata, dia berasa lega kerana pihak berkuasa mengambil tindakan pantas untuk mengatasi masalah tersebut.

“Air sungai sudah mula penuh sejak awal pagi semalam (Isnin) dan terdapat sebilangan nelayan sungai yang sudah keluar menangkap ikan dan udang.

“Alhamdulillah paras air sudah pulih sepenuhnya dan hari ini semua bot nelayan sudah boleh keluar menangkap ikan seperti biasa,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Kota Kuala Muda, Md. Saad Abdullah, 54, berkata, masalah gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar kawasan itu juga dimaklumkan sudah pulih sejak petang semalam.

“Bekalan air di sini sudah pulih seperti biasa sekitar pukul 5 petang semalam, namun saya difahamkan masih ada lagi beberapa kawasan di sekitar Sungai Petani yang masih terjejas,” ujarnya.

Kelmarin, kira-kira 251,800 akaun bekalan air di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas akibat penurunan mendadak paras air Sungai Muda ekoran salah satu pintu baraj di lembangan sungai itu mengalami kerosakan sensor.

Kejadian turut menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air, namun kebanyakkan kawasan terjejas sudah kembali pulih setelah Loji Rawatan Air (LRA) Pinang Tunggal/Sungai Petani dan LRA Kulim Hi-Tech serta LRA Sungai Dua telah beroperasi semula.-UTUSAN