Sumbangan untuk masjid bukan sebab PRK Ayer Kuning

Sumbangan untuk masjid bukan sebab PRK Ayer Kuning

TAPAH: Sumbangan kepada 19 buah masjid dan 91 buah surau di Parlimen Tapah sempena Ramadan bukan disebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pemberian sumbangan itu telah dilakukan sejak beliau menjadi Ahli Parlimen Tapah lagi.

“Telah menjadi budaya di Parlimen ini setiap tahun sejak saya jadi Ahli Parlimen, jadi jangan sebut sebab PRK program sumbangan ini diadakan.

“Ini budaya di sini, hubungan kami memang rapat dengan orang berjawatan di surau dan masjid,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pemberita pada majlis menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Semua Masjid Dan Surau Kawasan Parlimen Tapah Tahun 2025 di Bangunan UMNO Tapah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali, Naib Ketua, Safri Mohamad Salih dan Ketua Pemuda Fahmi Ahmad Jakhisi.

Setiap masjid menerima sumbangan RM1,000 manakala  surau pula RM500.

Kata Saravanan, sama ada beliau berjawatan atau tidak, sumbangan itu akan diteruskan.

“Walaupun saya daripada agama berlainan tetapi menerima agama Islam sebagai agama rasmi negara selain menjalankan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu 12 April, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih dengan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.

Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu. – UTUSAN

Scroll to Top