Sultan Selangor zahir sukacita pengekalan Pensijilan MS ISO 9001:2015 pejabat baginda

Sultan Selangor zahir sukacita pengekalan Pensijilan MS ISO 9001:2015 pejabat baginda

SHAH ALAM: Pejabat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengekalkan pengiktirafan Pensijilan MS ISO 9001:2015 apabila berterusan mengamalkan sistem pengurusan berkualiti.

Malah, dengan pengiktirafan itu juga, Malaysia Book Of Records (MBOR) menobatkan Istana Selangor sebagai yang pertama di negara ini menerima pensijilan tersebut.

Baginda dalam satu kenyataan menzahirkan rasa sukacita dan bangga dengan pencapaian dan kecemerlangan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta kakitangannya, dalam mengekalkan pengiktirafan Pensijilan MS ISO 9001:2015.

Sultan Sharafuddin bertitah, pada 27 Jun 2019, Pejabat Sultan Selangor diiktiraf sebagai Pengurusan Istana pertama di negara ini yang memperoleh Pensijilan ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Berkualiti) dari MBOR.

Titah baginda lagi, sejak ditabalkan sebagai Sultan Selangor ke sembilan pada tahun 2001, baginda  menitahkan agar aspek pengurusan dan pentadbiran Istana Selangor diberi keutamaan dan menetapkan penanda aras untuk mencapai satu tahap kecemerlangan dalam tempoh 5 tahun.

Mengulas lanjut, baginda bertitah, di bawah kendalian Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Zakaria Abdul Rahman sejak tahun 2003 dan bersara pada tahun 2019, Pejabat Sultan Selangor telah meraih kecemerlangan dalam skop amalan dan kriteria pengurusan merangkumi lawatan-lawatan ke istana, hal ehwal majlis dan istiadat diraja serta penyediaan santapan diraja.

Tambah Sultan Sharafuddin, pensijilan ISO 9001:2015 yang diterima Pejabat Sultan Selangor ini dikemas kini pada 30 Disember 2021 untuk tempoh sehingga 7 Januari 2025 di bawah pentadbiran Dato’ Pengelola Bijaya Diraja yang baharu, Datuk Sawaluddin Md. Nor.

Di samping itu, baginda berharap semua kakitangan Pejabat Sultan Selangor terus komited menjalankan tugas masing-masing dan amanah serta sentiasa berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan pentadbiran.

Untuk rekod, pejabat Sultan Selangor sebelum ini turut menerima Pensijilan ISO 9001:2008 sebelum ia dinaik taraf kepada ISO 9001:2015 pada 10 November 2017.

Dengan penganugerahan ISO tersebut, pentadbiran dan pengurusan Istana Alam Shah adalah setanding dengan organisasi kerajaan ataupun swasta yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. –UTUSAN ONLINE