am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan bukan Islam khususnya di negeri ini.
Sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan bahawa cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian yang mana rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah demi mengukuhkan perpaduan nasional.
Sultan Sharafuddin bertitah, polemik yang tercetus itu menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ia pasti menjejaskan keharmonian yang sedia terjalin.
“Islam menerusi al-Quran dan sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dengan diperkuatkan menerusi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.
“Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan itu tidak timbul kerana tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan,” titah baginda menerusi satu hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Selangor mengingatkan bahawa sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.
Titah baginda, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Baginda juga mahu umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki supaya tidak mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir luar.
© New Straits Times Press (M) Bhd