Sultan Selangor berkenan rasmi ibu pejabat baharu LZS

Sultan Selangor berkenan rasmi ibu pejabat baharu LZS

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Menara Zakat Sultan Idris Shah, iaitu ibu pejabat Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang baharu di Seksyen 14, di sini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi Pemegang Amanah LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail serta pengurusan tertinggi institusi itu.

Sultan Selangor dalam titah perasmian berkongsi rasa bangga dan sukacita dengan pencapaian serta inovasi LZS sejak ditubuhkan pada 1994, sehingga menjadi ikutan negara luar dari aspek pengurusan zakat.

Titah baginda, selaku institusi tunggal menguruskan zakat di Selangor, LZS melakukan pemodenan dan penambahbaikan dalam pengurusan zakat dari aspek kutipan dan agihan serta pembangunan asnaf, yang memberi manfaat besar kepada umat Islam.

“Apa yang membanggakan beta, pengurusan zakat Selangor juga menjadi contoh ikutan kepada banyak negara seperti Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain yang tertarik melihat inovasi zakat di Selangor, yang telah memberi manfaat yang cukup banyak kepada umat Islam,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah mahukan LZS terus menambah baik aspek tadbir urus dari semasa ke semasa dengan menerapkan pengurusan korporat yang mementingkan kecekapan, kredibiliti dan menjangkau masa hadapan berpandukan piawaian dan ketetapan syariah.

Titah baginda LZS perlu melihat kaedah bantuan terbaik kepada asnaf dan bagaimana ia mampu membina kehidupan mereka secara berdikari dan konstruktif, berpandukan peraturan dan panduan syarak.

Kaedah itu termasuk sentiasa turun padang bagi mengemas kini data dan mendapatkan maklumat terkini berkaitan penerima yang layak menerima zakat berpandukan pendapatan isi rumah serta kemampuan kewangan mereka.

Dalam hal itu, Sultan Sharafuddin menyarankan agar khidmat ketua-ketua kampung, penghulu dan pegawai-pegawai agama daerah digunakan untuk menyalurkan maklumat, bagi mengenal pasti golongan asnaf tersebut disamping tidak melupakan rakyat di bandar yang jatuh bawah satu daripada lapan kategori asnaf.

Baginda juga bertitah mengingatkan semua peringkat kutipan termasuk amil agar sentiasa jujur dan amanah serta menjaga integriti dan memastikan tiada penyalahgunaan kuasa, kerana ia satu dosa yang amat besar jika amanah tersebut dikhianati.

“Beta amat menitikberatkan soal kejujuran dan integriti semua warga LZS dan menitahkan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang didapati menyeleweng dan tidak amanah, di dalam menjalankan urusan serta tanggungjawab termasuklah mengheret mereka ke mahkamah untuk diadili,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan rakyat bahawa zakat pendapatan hendaklah ditunaikan di tempat di mana mereka berkhidmat dan mencari rezeki, dan dalam konteks Selangor ia perlu dijelaskan kepada LZS sebagaimana fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 9 Mei 2002.

“Sekiranya zakat yang dikutip di Selangor diagih ke negeri dan tempat lain, beta bimbang negeri Selangor yang majoritinya Melayu Islam dan lebih 79,000 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS akan dinafikan hak mereka dan dizalimi tanpa kita sedari,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan LZS bahawa agihan zakat hendaklah disalurkan kepada golongan asnaf sebenar yang layak menerima agihan berdasarkan kepada fatwa yang telah diputuskan, tidak terkecuali kepada golongan yang dalam proses pemulihan kerana terbabit dengan ajaran salah seperti GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

“Zakat bolehlah disalurkan kepada golongan ini melalui bantuan asnaf Ar Riqab, dan LZS hendaklah memperuntukkan dana khusus yang sewajarnya untuk tujuan pemulihan bagi memperbetulkan dan meluruskan akidah mereka,” titah baginda.

Menara Zakat Sultan Idris Shah setinggi 14 tingkat yang mula diduduki pada 23 September tahun lepas turut dilengkapi kaunter pandu lalu bagi urusan kutipan dan agihan zakat, kios layan diri untuk memudahkan pelanggan membuat bayaran atau permohonan zakat selain kemudahan dewan seminar sebagai lokasi sesi latihan dan kursus untuk asnaf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top