SEPANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan pembukaan ibis Styles Sepang KLIA di sini, semalam.
Turut berangkat, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sementara itu, Pengerusi iSY Hotel Sdn Bhd, Tan Sri Syed Mohd. Yusof berkata, ibis Styles Sepang KLIA mula beroperasi Februari tahun lalu menampilkan konsep lebih moden dan dinamik dengan tema resort perniagaan yang bergaya.
Beliau berkata, kerjasama pihaknya dengan Accor, kumpulan hospitaliti terkemuka dunia, mencerminkan komitmen dalam meningkatkan standard hospitaliti di Sepang.
“Kami yakin ibis Styles Sepang KLIA akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh industri pelancongan Malaysia,’ katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan iSY Hotel, Ir. Tan Chee Kian berkata, syarikat telah memperuntukkan sehingga RM90 juta bagi pelan pengembangan yang akan bermula tahun depan termasuk pembinaan bangunan baharu dengan tambahan 250 bilik serta kemudahan sukan.
ISY Hotel Sdn Bhd memiliki ibis Styles Sepang KLIA menerusi kerjasama dengan ISY Sepang Sdn Bhd dan Kumpulan IKHASAS.
Hotel ini terletak kira-kira 1.2 kilometer dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang turut dilengkapi gimnasium, spa, kolam renang, ruang kerja bersama, serta dewan serbaguna.
Ibis Styles Sepang KLIA juga sesuai untuk memenuhi pelbagai keperluan pengembara, mencerminkan gaya hidup yang bergaya, ceria, dan menyeronokkan.
Tema unik hotel juga melangkaui reka bentuk lobi dan bilik yang berinspirasikan resort, mewujudkan pengalaman yang mengasyikkan bagi tetamu. – UTUSAN