Sultan Pahang berkenan lepaskan peserta Ekspedisi Everest Base Camp

Sultan Pahang berkenan lepaskan peserta Ekspedisi Everest Base Camp

am@hmetro.com.my

Raub: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melepaskan peserta Ekspedisi Everest Base Camp di Dewan Bukit Fraser, di sini hari ini.

Ekspedisi anjuran kerajaan Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang itu disertai seramai 45 peserta.

Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua 45 peserta yang terpilih menyertai ekspedisi ini selepas pemilihan ketat dan latihan berterusan dilakukan pihak urusetia.

“Saya kagum dengan semangat serta kesungguhan semua peserta yang telah mengikuti latihan selama lima bulan dalam usaha menawan Everest Base Camp yang begitu mencabar.

“Setiap peserta perlu menanam jati diri tinggi selain disiplin, patuh arahan ketua, sentiasa menjaga kecergasan sepanjang pendakian, cukup tidur serta rehat yang cukup.

“Menerusi program ini diharap dapat meningkatkan lagi ukhuwah serta semangat berpasukan dalam mencapai misi menakluk gunung berkenaan,” titah baginda.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal; Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit yang turut menyertai ekspedisi itu.

Baginda turut menzahirkan harapan penubuhan Kelab Mendaki Pahang yang akan dapat mengaktifkan aktiviti mencabar itu terutama di Pahang yang terkenal dengan gunung yang tidak kurang hebatnya seperti Gunung Tahan, Jerantut dan Gunung Brincang di Cameron Highlands.

“Saya mendoakan semua peserta selamat pergi dan selamat balik, lakukan sebaik mungkin dalam usaha mencapai cita-cita dan impian yang digalas. Jangan paksa diri sekiranya tidak mampu meneruskan pendakian.

“Pengalaman beberapa peserta yang sebelum ini pernah mengikuti Ekspedisi Simulasi Menyelamat di Altitud Tinggi@Mardi Himal, Nepal, diharap dapat menjadi pendorong pada peserta yang kali pertama mendaki,” titah baginda.

Ekspedisi itu akan mengambil masa 16 hari membabitkan 45 peserta termasuk 10 wanita dan lapan kakitangan pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang.

Pasukan itu turut membawa bersama surah Yassin sumbangan Sultan Pahang untuk disampaikan kepada masjid di Nepal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top