KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima serahan bayaran zakat perniagaan empat syarikat dan individu berjumlah RM3,250,676 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Majlis penyerahan zakat berkenaan yang diadakan di Istana Iskandariah itu turut dihadiri Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, penyerahan zakat itu didahului oleh Boustead Plantations Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Nina Wirasatria Md. Husni berjumlah RM250,676.
Katanya, ia diikuti Empayar Indera Sdn. Bhd. diwakili Pengurus Besar, Datuk Hasrin Abdul Rahman berjumlah RM200,000 diikuti Perbadanan Aset Keretapi diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azhar Ahmad berjumlah RM200,000.00.
“Penyerahan zakat kemudian diteruskan oleh Public Islamic Bank Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi dengan jumlah RM200,000.
“Diikuti penyerahan zakat pendapatan individu oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal diwakili oleh Syed Amir Nidzamuddin Syed Abu Hussin berjumlah RM2,400,000,” katanya di sini hari ini.
Majlis penyerahan zakat itu dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin.
Majlis penyerahan zakat berkenaan disusuli dengan majlis berbuka puasa bersama media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan belia. – UTUSAN