am@hetro.com.my
Bagan Datuk: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Masjid Tuminah Hamidi, di sini hari ini.
Ketibaan baginda pada 7 malam disambut kenamaan, antaranya Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok Bunga Tanjung atau Mimusops elengi sebagai simbolik perasmian masjid berkenaan, sebelum berbuka puasa bersama kira-kira 2,500 jemputan.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Masjid Tuminah Hamidi mula dibina pada 2017 dan siap pada 2023 membabitkan kos pembinaan RM53 juta menggunakan dana Yayasan Al-Falah, dan mampu menampung 5,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Masjid berkeluasan 8,870 meter persegi itu dinamakan sempena nama ibu bapa kepada Ahmad Zahid iaitu Allahyarham Tuminah Abdul Jalil dan Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah.
Ia adalah masjid terapung di tepian Sungai Perak, di pekan Bagan Datuk sekali gus menjadi daya tarikan pelancongan baharu, serta merupakan masjid terapung keempat dibina di negeri Perak.
Selain dewan solat utama, masjid dua tingkat dilengkapi dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran, dan bilik persidangan.
Selepas berbuka puasa, Sultan Nazrin turut menunaikan solat Maghrib sebelum berangkat ke majlis santapan.
Baginda juga dijadualkan turut serta bersama jemaah untuk menunaikan solat Isyak, solat tarawih, dan jamuan moreh selepas majlis santapan itu.
Pada majlis anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Kerajaan Perak itu, Ahmad Zahid menyantuni dan menyumbang duit raya kepada 300 pelajar tahfiz dan anak yatim.
© New Straits Times Press (M) Bhd