Sukma Sarawak 2024 pertanding 488 acara, Selangor tuan rumah 2026

Sukma Sarawak 2024 pertanding 488 acara, Selangor tuan rumah 2026
Sukma Sarawak 2024 pertanding 488 acara, Selangor tuan rumah 2026

Sukma Sarawak 2024 yang menyingkap tirai 17 Ogos bakal mencipta sejarah apabila mempertandingkan 488 acara jumlah tertinggi untuk disaingi 15 kontinjen dalam temasya edisi ke-21 tersebut.

SUKAN Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang menyingkap tirai 17 Ogos bakal mencipta sejarah apabila mempertandingkan 488 acara jumlah tertinggi untuk disaingi 15 kontinjen dalam temasya edisi ke-21 tersebut.

Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dalam mesyuarat dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu juga secara rasmi mengesahkan 488 acara daripada 37 jenis sukan edisi Sarawak 2024, mengatasi jumlah tertinggi 426 acara dua tahun lalu.

Tambah jawatankuasa itu lagi sejumlah 487 acara memenuhi syarat minimum penyertaan enam kontinjen negeri untuk dipertandingkan berdasarkan kepada pengesahan pendaftaran akhir yang ditutup pada 5 Julai lalu.

“Bagaimanapun acara sepak takraw berpasukan wanita diberikan kebenaran khas setelah hanya lima negeri mengesahkan penyertaan masing-masing.

“Mesyuarat Pendaftaran Delegasi pada 7 dan 8 Ogos depan akan membuat pengesahan pendaftaran nama atlet serta pegawai kontinjen sebelum acara pertama bola sepak lelaki membuka tirai pada 10 Ogos di lima venue pertandingan di Bintulu, Mukah (dua) dan Sibu (dua),” kata Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan pada Khamis

Sementara itu, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia turut memilih Selangor sebagai tuan rumah Sukma dan Para Sukma 22 yang dijadualkan pada 2026.

“Sistem penggiliran tuan rumah Sukma sebelum ini telah ditetapkan secara berselang seli setiap dua tahun di antara MSN dan negeri-negeri.

“Bagaimanapun, negeri-negeri boleh menawarkan diri pada giliran MSN sekiranya tidak melibatkan kos pengelolaan yang besar serta memiliki kemudahan mencukupi.

“Berdasarkan syarat itu, Selangor tampil menawarkan diri menyaksikan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia mengesahkan pemilihan Selangor selaku tuan rumah Sukma 2026 diikuti Kelantan bagi Sukma 2028,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memastikan Sukma relevan sebagai platform pertandingan berkualiti untuk atlet-atlet remaja daripada seluruh negara.

“Selain itu, memberi peluang negeri-negeri untuk memiliki fasiliti sukan terbaik serta berkemampuan menguruskan operasi logistik hasil daripada pengalaman selaku tuan rumah Sukma,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!