SUKIPT 2024: Insentif RM20,000 pecah rekod kebangsaan

SUKIPT 2024: Insentif RM20,000 pecah rekod kebangsaan

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) mengekalkan insentif kecemerlangan sebanyak RM20,000 untuk dikongsi secara bersama oleh mana-mana atlet yang memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, insentif berkenaan dikekalkan bagi memberi cabaran kepada semua atlet mempamerkan aksi terbaik pada edisi keenam ini yang berlangsung 6 hingga 14 September depan.

“Insentif ini dikekalkan kerana sejak temasya SUKIPT diadakan, belum ada seorang pun atlet yang mampu memecahkan rekod kebangsaan dalam acara dipertandingkan.

“Oleh itu saya cabar kontinjen-kontinjen dan atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik dan merebut peluang keemasan ini,” katanya.

Teks ucapan Zambry itu dibacakan oleh Timbalan Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud pada Majlis Pelancaran SUKIPT 2024 di UUM, Changlun pada Rabu.

Hadir sama Naib Canselor UUM, Datuk Dr Mohd Foad Sakdan.

Timbalan Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud (duduk tengah) selepas Majlis Pelancaran SUKIPT 2024 di UUM, Changlun pada Rabu.

Timbalan Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud (duduk tengah) selepas Majlis Pelancaran SUKIPT 2024 di UUM, Changlun pada Rabu.

SUKIPT 2024 mempertandingkan 28 acara sukan dengan jumlah 233 pingat emas disediakan untuk direbut.

Sebanyak 74 kontinjen telah mengesahkan penyertaan untuk beradu kekuatan, dengan kehadiran lebih 6,000 orang atlet, 2,500 orang pegawai dan lebih 400 orang sukarelawan di 23 gelanggang pertandingan.

Jelas Zambry, kementerian juga bersetuju untuk mengekalkan beberapa Insentif Kecemerlangan SUKIPT yang telah diperkenalkan iaitu Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT bakal menerima wang tunai berjumlah RM3,000 setiap seorang.

Menurutnya, pasukan terbaik lelaki dan wanita SUKIPT juga masing-masing akan menerima wang tunai RM7,000.

“Selain itu, pemain yang berjaya melakukan ‘Hole In One’ bagi sukan Golf juga ditawarkan wang tunai berjumlah RM1,000,” ujarnya.

Tambah beliau, SUKIPT 2024 juga akan diperhebatkan dengan aktiviti sampingan yang melibatkan Karnival Sambutan 40 Tahun UUM, Karnival Keusahawanan dan seminar kerjaya.

Jelasnya, aktiviti ini akan memberi ruang kepada seluruh penggiat sukan di negara ini untuk terlibat sama dengan penganjuran SUKIPT.

INFO

Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024

Tarikh: 6 hingga 14 September

Acara

28 acara sukan

Venue

23 gelanggang

Pingat Emas

233 pingat emas

Kontinjen

74 kontinjen

Universiti Awam

20 buah

Universiti Swasta

44 buah

Institut Pendidikan Guru Malaysia

Tujuh buah

Politeknik

Satu

Kolej Komuniti

Satu

Kolej Vokasional

Satu

Atlet

Lebih 6,000 orang

Pegawai

2,500 orang

Sukarelawan

Lebih 400 orang

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Scroll to Top