Sukar cari 'harimau jadian'

Sukar cari 'harimau jadian'

am@hmetro.com.my

SELAKU pengarah, Fazli Yasin mengakui pihaknya berdepan cabaran untuk menghasilkan kostum harimau jadian yang realistik dalam filem bergenre thriller Limbungan : Tragedi Hitam 1975.

Kata Fazli, dia juga perlu menghasilkan tujuh versi kostum sebelum memilih satu yang terbaik untuk merealisasikan filem yang menyelami dunia mitos berkisar kepada Harimau Jadian itu.

“Kita mula buat kostum harimau jadian dengan warna oren dan nampak kelakar bila kita cuba bawah ‘shadow’ (bayang) untuk nampak seram.

“Selepas itu kita buat lagi prototaip (versi sampel) sampai yang ketujuh kerana ada yang nampak macam muka chimpanzee (cimpanzi) dan ‘Werewolf’.

“Kostum harimau kalau salah buat nampak macam kucing yang comel pula dan akhir sekali, barulah kita dapat kostum yang kita mahukan,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Limbungan : Tragedi Hitam 1975 di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengenai watak harimau jadian pula, kata Fazli, pihaknya memilih pelakon Zainal Isa untuk melakonkan karakter berkenaan.

“Zainal bertubuh ‘chubby’ (gemuk) dan kita gunakan teknik ‘scan’ kepala dia 3D dan buat data guna material lembut untuk pakai topeng itu (kostum harimau jadian).

“Gigi harimau kita buat buat ‘mould’ (acuan) sampai dalam dan waktu dia menganga tak nampak kantoi.

“Harimau itu adalah harimau kumbang tapi kalau tengok lukisan Sir Hugh Clifford iaitu Residen Pahang yang bertugas pada 1896 hingga 1903, ada nampak dia lukis harimau jadian itu atas tangga separuh kaki dan atas badan harimau.

“Kalau tengok ‘drawing’ harimau jadian ia adalah inspirasi dari lukisan bukan dari filem Hollywood kerana saya lebih pada hasil seni,” katanya.

Mengulas elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) pula, kata Fazli, ia hanya membabitkan sebanyak 20 peratus sahaja dalam filem yang memaparkan konflik pembangunan di sebuah kampung pada era 1970-an itu.

“Kita tidak banyak menggunakan elemen CGI kerana kita buat dari segi praktikal tapi dalam skala set sebenar yang kecil contohnya Kampung Limbungan dan batu-batu gunung yang dipaparkan dalam filem ini.

“Muka harimau jadian kita gerakkan dengan teknik ‘visual effect’ dan ia berbeza dengan CGI,” katanya.

Tambah Fazli pihaknya bersyukur kerana filem juga melepasi potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan diklasifikasikan P13 iaitu untuk tayangan 13 tahun ke atas.

Seluruh produksi juga berharap filem ini akan mendapat sambutan menggalakkan seterusnya mencatat kutipan ‘box office’ (pecah panggung).

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top