Sukan Sea: Skuad ping pong buru emas

Sukan Sea: Skuad ping pong buru emas

KUALA LUMPUR – Skuad ping pong kebangsaan berada pada tahap terbaik dalam memburu kilauan emas pada Sukan SEA Kemboja bermula 5 Mei ini.

Pengurus pasukan, Kang Fong Ling berkata, sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan persiapan rapi para pemain dengan menjalani beberapa siri latihan berintensiti tinggi bersama pemain Korea Selatan, Taiwan dan China.

Katanya, para pemain juga bakal menguji kemampuan dengan skuad ping pong Jepun yang akan berkunjung ke negara ini pada minggu depan.

“Persiapan kali ini dilakukan dengan lebih rapi dan baik berbanding Sukan SEA edisi lalu di Hanoi apabila dunia berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semua negara melakukan persiapan sangat rapi. Saya menjangkakan saingan untuk skuad negara pada kali ini lebih sengit di Kemboja nanti, lebih-lebih lagi dari pesaing terkuat kita Singapura dan Thailand,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hadir pada sidang media jurulatih pasukan ping pong kebangsaan, Beh Lee Wei dan dua atletnya, Wong Qi Shen serta Alice Chang Li Sian.

Sementara itu, Lee Wei memberitahu, sesi latihan bersama pasukan luar negara memberi kesan positif kepada perkembangan stamina serta kemahiran atlet termasuk aspek keyakinan, taktik dan teknik permainan.

Menurutnya, para pemain berdepan dengan ramai rakan pelatih  yang memiliki kualiti kemahiran dan teknik permainan yang berbeza dan ini menjadi pengalaman berguna buat pemain mereka.

“Keyakinan diri atlet menunjukkan ada peningkatan yang memberangsangkan. Teknik permainan mereka juga bertambah bagus dan ini satu peningkatan yang drastik dan sangat positif ke arah membawa misi pingat ke Kemboja,” katanya.

Pada Sukan SEA di Hanoi lalu,skuad  ping pong negara meraih satu perak dan empat gangsa. – MalaysiaGazette