PERSEKUTUAN Sukan Elektronik Malaysia (MESF) meletakkan sasaran dua pingat emas dalam temasya Sukan SEA Thailand 2025, yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan.
Presiden MESF, Muhammad Naim Al-Amin berkata, sasaran itu disandarkan kepada kategori Arena of Valor (AoV) dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), berdasarkan prestasi cemerlang pemain negara di kejohanan tempatan dan antarabangsa.
“Kita tahu pasukan AoV Thailand sangat kuat, tetapi kita juga mempunyai pemain berkaliber. Untuk MLBB, walaupun pasukan lain hebat, itu tidak bermakna kita lemah.
Sebaliknya, semangat juang atlet kita menjadi faktor penentu kejayaan. Oleh itu, kita tidak hanya fokus kepada aspek teknikal tetapi juga kepada kerohanian dan semangat membawa nama Malaysia,” katanya selepas pelancaran Piala Esports Malaysia 2025 di Pusat Pameran Pavilion, Bukit Jalil.
Muhammad Naim turut menegaskan bahawa MESF komited menjaga kebajikan atlet, dengan berkolaborasi bersama Esport MedicA sebagai langkah proaktif untuk memastikan aspek mental dan kesejahteraan pemain sentiasa terjaga, terutama dalam menghadapi tekanan tinggi semasa kejohanan.
Dalam temasya dwitahunan edisi kali ini, Malaysia akan menyertai keenam-enam acara e-sukan yang dipertandingkan, iaitu eFootball, MLBB kategori lelaki dan wanita, AoV, Free Fire, dan FIFA Online 4.
Mengenai pemilihan pasukan, Muhammad Naim menjelaskan bahawa pemilihan dibuat berdasarkan prestasi dalam liga profesional yang dikendalikan oleh penerbit permainan tersebut.
“Sebagai contoh, pemilihan pasukan MLBB kategori lelaki akan dibuat berdasarkan prestasi dalam liga MLBB. Manakala bagi kategori wanita, kita akan menilai pemain melalui liga tersendiri. Kaedah yang sama turut digunakan untuk permainan lain seperti eFootball,” katanya.
Selain itu, MESF berhasrat untuk menghantar satu pasukan penuh bagi setiap kategori, berbanding mencampurkan pemain daripada pelbagai pasukan bagi memastikan keserasian dan strategi mantap sepanjang kejohanan.
INFO
Malaysia sebelum ini pernah meraih pingat emas e-sukan menerusi permainan Hearthstone yang dimenangi Dr Yew Weng Kean pada Sukan SEA 2019 di Filipina.