Sudah ada calon pengganti Steinbruckner

Sudah ada calon pengganti Steinbruckner

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Beberapa nama calon ketua jurulatih baharu sudah berada dalam radar Terengganu FC (TFC) bagi menggantikan Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatannya semalam.

Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Beliau turut menyerahkan kepercayaan kepada Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFC untuk membuat tindakan susulan.

“TFC ada penolong-penolong jurulatih yang boleh menjalankan tugas buat sementara dan bukan bermakna kalau tiada (jurulatih), kita terus tergantung begitu sahaja dan kita akan uruskan (isu ini) dengan cara yang terbaik.

“Dalam senarai pendek (calon) sudah ada tetapi saya tidak boleh bagi tahu lagi, nanti kita akan urus dulu, ” katanya.

Semalam, TFC mengesahkan Steinbruckner melepaskan jawatannya bersama dua penolong jurulatih dengan tugas pengendali sementara kini digalas Badrul Afzan Razali sambil dibantu Hairuddin Omar.

Keputusan itu dibuat susulan kemerosotan prestasi skuad Penyu yang bergelut dengan prestasi dan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga Super serta Kejuaraan Kelab Asean (ACC).

Ketika ditanya sama ada calon tempatan atau import yang menjadi pilihan, Ahmad Samsuri berkata, TFC akan melihat kepada kemampuan terutama faktor kewangan.

“Nanti kita nilai dulu, mana-mana yang sesuai mengikut kemampuan kita, kalau ikut memanglah kalau boleh mahu jurulatih (seperti) Alex Ferguson atau Jurgen Klopp tetapi tengok kemampuan dahulu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top