asmaini@mediaprima.com.my
Seluruh dunia kini mula mencari maklumat siapa sebenarnya jurutera wanita, Ibtihal Aboussad.
Wanita itu bukan calang-calang individu kerana berani tampil lantang bersuara mempersoalkan tindakan Microsoft dalam peranan mereka menyokong pembunuhan beramai-ramai tentera Israel ke atas penduduk Palestin ketika acara ulang tahun ke-50 syarikat itu di ibu pejabatnya di Redmond, Washington, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini,
Ketika Ketua Pegawai Eksekutif AI, Mustafa Suleyman menyampaikan ucaptama di hadapan hadirin termasuk pengasas bersama Bill Gates dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Steve Ballmer, Ibtihal secara tiba-tiba bangkit memecah kesunyian, bukan dengan teknologi, tetapi dengan persoalan yang penuh berani.
“Mustafa, malu kepada diri kamu,” jeritnya kepada Mustafa sambil berjalan ke arah pentas.
“Kamu kata mahu gunakan AI untuk kebaikan, tetapi Microsoft menjual senjata AI kepada tentera Israel.
“Lima puluh ribu orang sudah mati dan Microsoft menyokong genosid di rantau kami,” katanya dengan lantang.
Acara berkenaan sepatutnya menjadi penghargaan terhadap pencapaian syarikat dan visi masa depannya, namun ia bertukar menjadi pentas memalukan.
Tindakan berani Ibtihal itu bukan sahaja ‘merencatkan’ kemeriahan sambutan ulang tahun syarikat berkenaan, malah turut membuka mata dunia mengenai peranan mereka selama ini ke atas penderitaan penduduk Gaza.
Acara yang disiarkan secara langsung itu jelas mengejutkan ramai penonton dan dalam sekelip mata, nama Ibtihal dikenali seantero dunia, daripada hanya jurutera kepada simbol protes keamanan global.
Sebelum diiring keluar pihak keselamatan, Ibtihal sempat melemparkan selendang keffiyeh, simbol solidariti rakyat Palestin ke atas pentas.
Wanita kelahiran Magribi itu berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.
Selepas menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Moulay Youssef pada 2017, Ibtihal menerima biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains komputer dan psikologi di Universiti Harvard.
Ibtihal pernah menerima geran daripada Jabatan Negara AS untuk menghadiri TechGirls, program terpilih untuk remaja perempuan dari rantau Timur Tengah dan Afrika Selatan (Mena) yang berminat dalam bidang teknologi.
Sejak itu, wanita berhati waja itu terbabit dalam pelbagai usaha untuk memperkasakan celik digital dalam kalangan wanita serta penggunaan pengaturcaraan untuk kebaikan sosial.
Ibtihal juga antara tonggak yang bersama-sama mengasaskan kem Teknologi Maklumat Hujung Minggu untuk mengajar subjek sains komputer kepada pelajar perempuan sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah di Maghribi.
Wanita kebanggaan rakyat Maghribi itu juga pernah menjadi mentor dan ketua juri untuk Technovation Challenge iaitu pertandingan antarabangsa untuk gadis muda bagi menyelesaikan isu komuniti mereka melalui aplikasi mudah alih.
Sebelum ini, Ibtihal turut menyertai Projek Literasi Digital untuk mengajar asas pengaturcaraan kepada kanak-kanak sekolah rendah yang kurang berkemampuan di kawasan Greater Boston, Amerika Syarikat.
Lebih menarik, dia juga adalah pengasas bersama dan pembangun ‘full-stack’ untuk Recentibus, sebuah organisasi bukan berkepentingan (yang sedang dibangunkan) untuk merekodkan rekod perubatan digital bagi pelarian di seluruh dunia.
“Saya mahu menggunakan kemahiran dan kepakaran dalam bidang sains komputer ini demi kebaikan bersama,” tegasnya.
Dalam pada itu, protes berkenaan hadir susulan pendedahan oleh agensi Associated Press awal tahun ini yang mendakwa model kecerdasan buatan (AI) Microsoft dan OpenAI digunakan tentera Israel untuk memilih sasaran serangan udara di Gaza dan Lubnan.
Antara insiden tragik yang dilaporkan ialah serangan udara pada 2023 yang mengorbankan tiga kanak-kanak perempuan dan nenek mereka di Lubnan.
Microsoft pada mulanya tidak memberikan sebarang komen, namun kemudian mengesahkan pemecatan Ibtihal dan seorang lagi pekerja, Vaniya Agrawal yang turut membuat protes ketika acara itu.
Dalam kenyataan rasmi, syarikat berkenaan berkata, ia menyediakan banyak saluran untuk suara didengari, namun menegaskan bahawa ia perlu dilakukan tanpa mengganggu operasi perniagaan.
Bagaimanapun, suara graduan Universiti Harvard dan bekas jurutera dalam bahagian AI Microsoft selama lebih tiga tahun, itu tidak terhenti di situ.
Beberapa hari selepas dipecat, Ibtihal memuat naik kenyataan video di media sosial, menyeru kepada usaha boikot global terhadap semua produk Microsoft.
Ibtihal turut meminta orang ramai berhenti menggunakan produk seperti Xbox, Copilot dan Candy Crush.
“Tujuannya adalah untuk menghantar mesej kepada syarikat itu bahawa kami tidak akan menyokong mereka secara kewangan dan kami tidak akan menggunakan produk mereka selagi mereka tidak mengamalkan prinsip kemanusiaan,” katanya dalam video berkenaan.
Menurut Ibtihal, dia menyatakan pendiriannya selepas mengetahui bahawa organisasi terbabit menyumbang kepada pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
“Saya tidak melihat pilihan moral lain,” katanya.
Dalam mesej sama, Ibtihal mendedahkan bahawa pekerja di syarikat itu dibisukan, diugut, diganggu dan difitnah kerana pendapat mereka dan cubaan menyuarakan kebimbangan dipandang ringan atau malah menyebabkan mereka diberhentikan.
Ibtihal menjelaskan bahawa minatnya dalam bidang kecerdasan buatan berpunca daripada keinginannya untuk membangunkan teknologi yang memberi manfaat kepada kemanusiaan global.
Namun, dia terkejut apabila mendapati hasil kerjanya menyumbang kepada tindakan ketenteraan Israel dalam ‘mengintip dan menyasarkan orang awam.’
“Saya tidak diberitahu bahawa hasil kerja akan digunakan untuk tujuan terbabit dan jika diberitahu, pasti saya tidak menyertai syarikat ini,” katanya
Sementara itu, seruan Ibtihal menerima sokongan besar di media sosial termasuk daripada kumpulan hak rakyat Palestin dan aktivis antarabangsa yang memuji keberaniannya.
Ramai tokoh dan aktivis kemanusiaan juga menyifatkan tindakan berani Ibtihal itu sebagai ‘pembongkar kebenaran’ yang mempertaruhkan kerjayanya demi prinsip.
Namun, bagi Ibtihal isu itu adalah hal bersifat peribadi, politik dan moral yang melangkaui kesetiaan terhadap syarikat.
Protes itu turut mencetuskan semula perdebatan mengenai peranan syarikat teknologi besar dalam konflik global dan sempadan etika penggunaan AI.
Ketika banyak kerajaan semakin bergantung kepada teknologi untuk kegunaan ketenteraan, ramai pekerja teknologi kini mula bangkit, menuntut kebertanggungjawaban dan ketelusan.
Bagi Ibtihal, ‘harga’ yang perlu dibayar demi sebuah prinsip adalah kehilangan pekerjaan.
Namun, apa yang pasti, masa depan wanita ini tidak akan kelam kerana ‘keberanian’ dan kepakaran dimiliki menarik minat banyak syarikat mega termasuk dari Kuwait yang menawarkan pekerjaan baharu untuk Ibtihal.
© New Straits Times Press (M) Bhd