
Konig telah digantung tugas selepas didakwa cuba membunuh isterinya, seorang saintis nuklear terkemuka.-Agensi
HONOLULU – Seorang doktor dari Maui pada Isnin bertindak kejam apabila menolak isterinya dari tebing kerana wanita itu enggan bergambar bersamanya dalam kejadian di lokasi pelancongan terkenal di Hawaii, lapor Hawaii News Now.
Gerhardt Konig, 46, seorang pakar bius, dipercayai menyerang isterinya, Arielle Konig, 36, seorang jurutera nuklear, selepas wanita itu menolak permintaannya untuk bergambar bersama di Pali Lookout.
Selain menolak mangsa, dia juga bertindak ganas dengan menumbuk dan memukul kepala mangsa dengan batu.
Lebih mengejutkan, Konig turut cuba menyerang isterinya menggunakan dua picagari, namun kandungan cecair tersebut masih belum dapat dipastikan.

Pasangan itu berada di Pali Lookout ketika Konig dilaporkan cuba menolak isterinya hingga jatuh.-Agensi
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan muka sebelum dikejarkan ke hospital dalam keadaan berlumuran darah.
Selepas kejadian, Konig melarikan diri namun berjaya diberkas polis berhampiran Lebuhraya Pali sekitar jam 6.45 petang waktu tempatan pada Isnin, lapan jam selepas insiden berlaku. Dalam pada itu pihak berkuasa menutup sementara Pali Lookout bagi tujuan siasatan.
Hospital tempat Konig bertugas mengambil tindakan menggantung tugasnya serta-merta dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.
Kes masih dalam siasatan dan suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat. -Agensi