norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Syura Badron bersyukur keadaan suaminya, Muhammad Farizat yang melecur teruk baru-baru ini, semakin pulih dan sudah dibenarkan pulang ke rumah.
Menerusi hantaran video di Instagram, Syura atau Zuraidah Badron, 38, berkata, dia amat berterima kasih kepada semua yang prihatin dan mendoakan kebaikan buat suaminya selama menerima rawatan di hospital.
“Selepas lebih 20 hari dirawat sejak insiden terbakar itu, syukur suami sudah pun dibenarkan keluar dari hospital. Sekarang, luka-luka dari kesan terbakar itu dalam proses pulih secara perlahan-lahan.
“Kalau tengok pada bahagian muka suami, memang kita letak krim setiap hari dan ubat-ubatan ditetapkan oleh doktor. Untuk bahagian tangan dan kaki juga ketika ini dalam proses penyembuhan,” katanya.
Menurut Syura, suaminya memerlukan masa antara dua hingga tiga tahun untuk kulit-kulit terbakar pada bahagian badan itu sembuh sepenuhnya dan membaik.
Sementara itu, Muhammad Farizat berkata, dia tidak menduga dapat mengalami pemulihan segera daripada insiden kebakaran sewaktu percutian keluarga di utara tanah air itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya selepas insiden kebakaran berkenaan. Mungkin ada doa anda untuk saya yang dimakbulkan Allah.
“Semoga segala kebaikan anda itu dibalas dengan kebaikan juga oleh Allah. Saya gembira kini dapat pulang ke rumah untuk bersama isteri dan anak-anak,” katanya bersyukur semakin pulih.
Katanya, dia melihat positif untuk meneruskan kehidupan yang baharu dengan baik sekali gus sehingga keadaan dirinya betul-betul pulih semula.
Pada 25 November lalu, Syura berkongsi berita sedih membabitkan suaminya yang melecur teruk akibat letupan tong gas di tempat penginapan mereka di Perlis, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Muhammad Farizat yang cedera terbakar tahap kedua dibawa segera pulang ke ibu kota dan menerima rawatan lanjut di sebuah pusat perubatan terkemuka di Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd