harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Seorang lelaki maut selepas ditikam berulang kali oleh isterinya dalam satu kejadian tragis di hadapan rumah mereka di sebuah pangsapuri, di sini, semalam.
Mangsa, seorang kontraktor berusia 60 tahun, diserang isterinya selepas berlaku perselisihan faham.
Kejadian itu disaksikan orang awam yang kemudian melaporkannya kepada polis pada 11.05 pagi.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek, seorang suri rumah berusia 59 tahun, ditahan di lokasi kejadian, manakala senjata yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor mendirikan rumah tangga bersama suspek sejak 37 tahun lalu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Polis menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu dan turut merampas beberapa sampel lain bagi membantu siasatan.
“Suspek yang juga wanita tempatan direman lima hari bermula hari ini hingga 21 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat pada 12.30 tengah hari tadi, dan punca kematian akibat kesan kecederaan daripada beberapa tikaman.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat, ASP Mohamed Hafeez Hamzah di talian 019-6556536,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd