Suami isteri ziarah kubur 2 anak setiap hari

Suami isteri ziarah kubur 2 anak setiap hari

am@hmetro.com.my

Pekan: “Setiap hari saya dan suami meluangkan masa menziarahi kubur dua anak kami bagi melepaskan rindu,” kata Norrul Aini Mohd Hassan.

Menurut Norrul Aini, 55, dia dan suami, Nasruddin Othman, 60, reda dan menerima kehilangan kedua anaknya yang ssebelum ini menjadi penyeri keluarga tetapi masih terlalu untuk sukar menerima ujian tidak pernah diduga itu.

Katanya, ingatan dia dan suami kepada kedua anaknya itu terlalu kuat, faktor berkenaan menyebabkan setiap hari mereka menziarahi kubur yang terletak kira-kira 500 meter daripada kediamannya.

“Terlalu sukar untuk dia dan suami melupakan arwah, suara dan kata-kata serta gelak tawa mereka yang sentiasa ceria seolah sentiasa dapat dengar. Terlalu banyak kenangan manis sepanjang membesarkan mereka berdua.

“Sebelum ini, saya dan suami tidak dapat tidur setiap malam kerana teringatkan kedua arwah selain terkejut dengan kemalangan yang berlaku hingga memusnahkan rumah tempat mereka sekeluarga berteduh selama 37 tahun.

“Kemalangan yang berlaku pada 4.15 pagi itu juga meragut nyawa saya dan suami,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 3 Ogos tahun lalu, rumahnya turut rosak teruk dirempuh treler di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir.

Treler berkenaan dipercayai terbabas menyebabkan anak Norrul Aini, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Waldon Faris, 21, pula meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan

Menurutnya, kejadian itu turut mendapat perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan baginda menitahkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk membina rumah baharu untuknya sekeluarga.

Bagi Nasruddin yang kini bertugas sebagai siak Masjid An-Nur Ketapang Hilir, kehilangan dua anak secara serentak terlalu sukar untuk diterimanya hingga ke hari ini.

“Untuk mengurangkan ingatan pada arwah berdua, saya menghabiskan masa berada di masjid, hati saya menjadi tenang dan reda dengan ujian yang begitu berat untuk dihadapi.

“Kemalangan berkenaan turut menyebabkan tiga tulang rusuk kanan saya patah dan satu retak, saya menerima rawatan beberapa minggu di Hospital Pekan,” katanya yang masih lagi sugul.

Menurutnya, dia hanya mampu mengucapkan terima kasih pada Sultan Pahang termasuk pihak yang banyak membantu dan memberi pelbagai bantuan selepas kemalangan yang menjadi sejarah hitam dalam keluarga kami.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top