am@hmetro.com.my
Jempol: Suami isteri maut apabila motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan dengan kereta di Kilometer 17 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kemalangan berlaku pada 2.30 petang ketika pasangan berusia 28 tahun dan 40 tahun menunggang menghala ke arah Kuala Pilah.
Katanya, motosikal mangsa berlanggar dengan kereta dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah bertentangan, yang hilang kawalan ketika melalui selekoh.
“Kereta dipandu lelaki itu berpusing dan masuk ke laluan bertentangan (laluan mangsa), manakala mangsa tidak sempat mengelak, melanggar bahagian sisi sebelah kiri kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hoo berkata, kedua-dua mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd