harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Pemilik pusat jagaan kanak-kanak persendirian di Batu 9, Cheras, di sini, ditahan hari ini, berhubung laporan mendakwa mereka melakukan penderaan fizikal dan emosi ke atas penghuni kediaman itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mendakwa ditampar oleh pemilik pusat jagaan berkenaan.
“Mangsa adalah penghuni di pusat jagaan itu sejak berusia 9 tahun menyatakan didera dengan cara ditampar di pipi kiri oleh pemilik terbabit atas alasan tidak mahu mendengar cakap.
“Terdapat dua laporan polis turut dibuat oleh saksi lain berkenaan tindakan pihak pemilik pusat perlindungan berkenaan yang disyaki turut mendera emosi dan mental penghuni rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bertindak di atas maklumat, pemilik pusat jagaan terbabit yang juga pasangan suami isteri berusia 66 dan 68 tahun ditahan pada 3.30 petang, di sini, hari ini.
Katanya, kesemua 18 penghuni rumah jagaan berusia 7 hingga 17 tahun diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pemeriksaan kesihatan dan tindakan seterusnya.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Ravin Ragavan di talian 012-6269250 bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd