Pertama kali menyambut Aidilfitri sebagai isteri, penyanyi, Sarah Suhairi mengakui teruja untuk beraya bersama suami, Aswad Mohd Anuar dan ketiga-tiga anak tirinya.
Menurut Sarah, dia juga telah mencapai kata sepakat dengan suaminya untuk beraya di Kuala Lumpur sempena raya pertama.
“Alhamdulillah, ini tahun pertama saya berpuasa dan beraya bersama suami dan anak-anak tiri. Orang selalu kata bila dah kahwin ini perkara yang mencabar adalah nak fikir giliran raya di mana.
“Tetapi saya tidak ada masalah itu kerana dua-dua beraya di Kuala Lumpur (KL) untuk raya pertama. Kami pun tidak ada perbincangan pun untuk beraya di mana.
“Anak-anak juga beraya di sini dahulu pada raya pertama. Kemudian, ayahnya ambil dan bawa mereka berjumpa dengan saudara mara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penyanyi yang berusia 25 tahun itu membawa ketiga-tiga anak tirinya menikmati suasana di kampungnya, Pahang pada raya ini.
“Pada raya ketiga hari itu saya pulang ke Pahang iaitu kampung bapa saya. Walaupun datuk dan nenek saya sudah tiada, kami tetap pulang melawat saudara mara di sana.
“Jadi, saya teringin mahu bawa anak-anak pulang ke Pahang bersama.
“Mereka sudah biasa beraya di bandar. Kali ini, saya mahu mereka merasa suasana beraya di kampung pula,” katanya.
LODEH BUAT SUAMI
Berkongsi lanjut mengenai sambutan raya, penyanyi lagu Sah itu memberitahu dia menyediakan juadah masak lodeh buat suaminya lebaran ini.
Kata Sarah, dia berasa beruntung kerana suaminya tidak terlalu cerewet dalam bab pemakanan dan sentiasa menghargai masakan yang telah disediakan.
“Suami saya bukanlah seorang yang cerewet bab makan. Dia akan makan apa sahaja. Dia juga seorang yang menjaga diet pemakanannya. Jadi, untuk raya kali ini saya masak lodeh.
“Tetapi saya minta bantuan ibu saya. Banyak lagi benda yang saya perlu belajar sebagai seorang isteri. Insya-Allah harap-harap semuanya dipermudahkan,” katanya.
Masih dalam fasa menyesuaikan diri, Sarah mengakui dirinya kini sudah mahir untuk membuat anggaran dalam menyediakan masakan secukupnya buat mereka berdua.
“Sebagai isteri, saya tidak rasa kehidupan itu berubah secara drastik. Rutin harian saya sama sahaja seperti sewaktu saya tinggal bersama keluarga. Sejak ada suami, saya jadi semakin rajin memasak.
“Sebelum ini, saya selalu masak dalam kuantiti yang banyak jadi saya tidak pandai nak anggarkan bahan untuk dua orang makan. Masa mula-mula itu suami saya pun tegur sebab masak banyak sangat.
“Tapi sekarang saya sudah tahu macam mana nak bahagikan porsi untuk dua orang. Apabila membeli barang dapur pun sudah tidak banyak sangat sebab takut rosak dan membazir,” ujarnya.