
Su Yin (kiri) membentuk gandingan nombor 14 dunia bersama Pang Ron tetap bertekad untuk turun beraksi pada Seluruh England Super 1000.
PEMAIN beregu campuran, Cheng Su Yin yang mengalami kecederaan kaki enggan melepaskan peluang untuk membuat debut pada Seluruh England di Birmingham bermula Selasa.
Atlet berusia 21 tahun itu yang membentuk gandingan nombor 14 dunia bersama Hoo Pang Ron tetap bertekad untuk turun beraksi pada kejohanan berprestij tersebut.
Perkembangan tersebut dikongsi Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang percaya pemain itu sempat pulih sebelum kejohanan bermula.
“Dia tidak menarik diri (Seluruh England). Moga sempat pulih sebelum turun beraksi,” katanya.
Pasangan negara itu terpaksa menarik diri dalam saingan suku akhir Orleans Masters menentang beregu Indonesia, Rehan Kusharjanto-Gloria Widjaja pada Jumaat.
Su Yin terjatuh di tangga mengakibatkan kecederaan pergelangan kaki selepas meraih kemenangan ke atas pasangan Taiwan, Lu Ming Che- Hung En Tzu pada pusingan kedua Khamis lepas.
“Selepas aksi (pusingan kedua), Su Yin berjalan menuruni tangga dari gelanggang utama ke gelanggang pemanas badan dengan keadaan agak gelap.
“Mungkin dia terlalu letih dan salah mengira langkahnya, lalu terjatuh. Dia dipantau rapi oleh pasukan perubatan,” ujar Rexy.
Berdasarkan undian, Pang Ron-Su Yin akan menentang Ki Dong-ju-Jeong Na-eun dari Korea Selatan pada pusingan pertama.