Media Prima Audio (MPA), yang mengendalikan lima stesen radio utama iaitu Hot FM, Fly FM, Kool 101, Molek FM, dan Eight FM, kini melangkah ke era baharu penyiaran dengan pelancaran studio serba canggih yang dilengkapi teknologi terkini.
Pelancaran rasmi studio baharu di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar, yang bersempena dengan sambutan Hari Radio Sedunia 2025, menjadi pencetus revolusi dalam dunia penyiaran tempatan.
Dengan gabungan inovasi teknologi moden, MPA terus komited dalam memperkukuh kecemerlangan penyiaran serta kelestarian industri bagi menawarkan pengalaman radio, penstriman, dan media digital yang lebih interaktif kepada pendengar di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran, pihaknya bekerjasama dengan Metaspace, penyedia kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI), serta EV SUN, syarikat pengeluar pencahayaan pintar yang digunakan dalam studio penyiaran radio mereka.
“Keutamaan kami adalah mewujudkan studio yang moden tetapi minimalis dengan penggunaan teknologi AI. Kerjasama bersama Metaspace, sebuah syarikat teknologi dari China, membolehkan kami memanfaatkan pelbagai aplikasi AI yang sejajar dengan visi MPA.
“Selain itu, EV SUN juga memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan dan kesihatan. Teknologi inovatif mereka bukan sahaja menyediakan pencahayaan pintar tetapi juga mampu melindungi studio daripada bakteria dan kulat,” katanya.
Selain memperkukuh aspek kebersihan dan kesihatan, teknologi EV SUN turut membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat bagi penyiar dan tetamu. Pada masa yang sama, ia turut mengurangkan penggunaan tenaga, seiring dengan komitmen Media Prima Berhad terhadap kelestarian alam sekitar (ESG).
Sementara itu, Metaspace menawarkan teknologi kecerdasan buatan yang mampu mengintegrasikan pengacara maya, produksi rancangan imersif, serta kandungan yang dijana AI (AI-Generated Content, AIGC), menjadikan penyiaran lebih dinamik dan interaktif.
Sebagai peneraju dalam pembangunan AI digital humans, penyiaran realiti terimbuh (XR/MR), serta kandungan interaktif, Metaspace membawa dimensi baharu dalam dunia media tempatan, termasuk memperkenalkan teknologi AI-powered storytelling di Malaysia.
Majlis pelancaran ini turut disusuli dengan sesi lawatan eksklusif ke studio, di mana tetamu berpeluang merasai sendiri pengalaman teknologi penyiaran generasi baharu yang diperkenalkan oleh MPA.
Hadir sama dalam majlis pelancaran serta sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Metaspace dan EV SUN ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EV SUN, Nelson Lim; Ketua Pegawai Operasi Metaspace, Sharon Lim; Ketua Pegawai Strategi Metaspace, Leo Li Yu; serta Ketua Pegawai Eksekutif EN Distribution Sdn Bhd, Adrian Peh.